Wednesday, October 8, 2008

Penganggur amuk pinangan ditolak

Oleh Nazdy Harun
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Gara-gara pinangannya ditolak keluarga wanita disukainya, seorang penganggur mengamuk sambil melibas sebilah parang pemotong daging pada malam raya kedua, Khamis lalu.

Lelaki itu mengamuk kira-kira jam 9.30 malam di depan rumah wanita berkenaan di Jalan Bunga Raya dekat Dungun.

Seorang penghuni rumah berkenaan yang ketakutan melihat lelaki terbabit bersenjata tajam segera menghubungi polis.

Beberapa pegawai dan anggota polis serta anggota Unit Peronda bergegas ke tempat kejadian sebelum melihat seorang lelaki sedang melibas parang dipegangnya.

Malah, lelaki berusia 23 tahun dari Jalan Nibung Stesen, Dungun itu turut didakwa mengeluarkan kata-kata mengenai kekecewaan cintanya ditolak seorang wanita hingga menyebabkan dia nekad mengamuk.

Bagaimanapun, pegawai dan anggota polis berkenaan berjaya memujuk suspek kira-kira sejam sebelum mententeramkannya dan merampas senjata terbabit.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan K Manoharan, berkata ketika suspek ditahan, wanita berusia 22 tahun yang bekerja di Paka, Dungun, itu, sudah keluar rumah kerana terlalu takut.

Menurutnya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Dungun untuk menjalani pemeriksaan mental.

Sehari sebelum kejadian, kata Manoharan, wanita terbabit membuat laporan polis berikutan suspek dikatakan mengugutnya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa tidak mahu berkahwin dan menolak cintanya.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan ugutan secara jenayah yang boleh menyebabkan kematian atau kecederaan parah dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.

“Suspek dibawa ke Hospital Tampoi, Johor Bahru, Johor, untuk pemerhatian selama sebulan,” katanya.

Beliau berkata, seorang pegawai polis turut membuat laporan pada malam kejadian di Balai Polis Dungun selepas suspek ditahan.

http://www.hmetro.com.my/07102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...