Tuesday, October 7, 2008

ANTARA DEB, KEMISKINAN MELAYU DAN PAKATAN RAKYAT


Dasar Ekonomi Baru atau DEB adalah satu isu yang sudah lapuk,demikian kata calon Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat bila isu itu dimainkan oleh lawannya Datuk Chua Jui Meng dalam perebutan jawatan tertinggi MCA itu.

Sebelum ini bila Ketua Umum Keadilan merangkap Ketua Pembangkang di Parlimen, menyatakan isu DEB sudah ketinggalan zaman, ramailah para pemimpin UMNO menyatakan DS Anwar dan Parti Keadilan tidak mengambil kira orang Melayu dalam dasar ekonominya.

Namun nampaknya Ketua Pembangkang tetap dengan pendiriannya bahawa DEBlah sebenarnya yang memundurkan orang Melayu itu sendiri.

Tidak ada siapa pun orang UMNO yang melenting bila Datuk Ong Tee Keat berkata demikian.

Semuanya sunyi sepi. Hal ini mudak difahami kerana Ong Tee Keat sendiri adalah sebahagian dari BN itu sendiri yang diterajui UMNO.

DEB sebenarnya adalah satu dasar yang dicipta di zaman Tun Abdul Razak lagi, PM kedua Malaysia dan bapa TPM sekarang.

Ia adalah satu program yang mengambil masa untuk tempuh dua dekad hasil dari tercetusnya peristiwa 13 Mei,.1969.

Sejak itu kerajaan melihat adanya ketidakseimbangan dalam susun atur masyarakat Malaysia yang sedang membangun itu.

Untuk menyelesaikan masalah itu pada awal tahun 1970 DEB dihasilkan sebagai satu program jangka panjang untuk:

a- Membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan
b- Penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi (Negara Kita,1988, terbitan INTAN).


Soalnya benarkah serampang dua mata yang dilaungkan kerajaan UMNO/BN itu telah mencapai matlamatnya, walaupun kini DEB sudah melepasi tempuh matangnya, telah lebih 30 tahun.

DEB sebenarnya sudah pun diganti dengan satu dasar baru pada 1990an dengan di kenali sebagi Majlis Perundingan Ekonomi Negara di mana ahli-ahlinya dilantik oleh kerajaan UMNO/BN berdasarkan keredibiliti seseorang itu dan sumbangannya terhadap masyarakat negara ini.

Semangat DEB tetap diteruskan dalam Majlis ini, sekalipun namanya dan programnya sudah bertukar rentak.

Sepanjang perlaksanannya, kita sebenarnya tidak dapat melihat kejayaan yang ketara dari segi ekonomi terhadap pencapaian orang Melayu yang disasarkan oleh kerajaan UMNO/BN itu sebanyak 30% dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Memang ada pertambahan bilangan orang Melayu yang menjadi kaya hasil dari program ini, tetapi mereka yang terlibat adalah terdiri dari para kroni dan suku-sakat pihak berkuasa.

Sedangkan rakyat Melayu terbanyak masih terkial-kial untuk mencari rentak hidup sendiri, dan sebahagiannya terlibat dalam masalah dadah dan gejala sosial lainnya akibat gagal dalam hidup atau terbiar tanpa mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak berkuasa.

Kata DS Anwar, orang Melayu menjadi merempat dan miskin kerana dipimpin oleh pemimpin Melayu yang rakus,tidak amanah, rasuah, zalim, tidak menghormati hak orang lain sehingga orang lain tidak menghormati orang Melayu lagi (Suara Keadilan, 26 Sept – 8 Oktober,2008,hlm.11).

Tanah Simpanan Melayu umpamanya, tergadai kepada orang lain atas nama pembangunan.

Akhirnya hilanglah hak Melayu di kawasan bandar.

Ini terjadi di Kampung Baru dan Bukit Bintang.

Senario yang sama berlaku di Ipoh, Johor Bharu dan Pulau Pinang.

Pada akhir tahun 70an pendapatan rakyat Korea Selatan dan Taiwan jauh lebih miskin dari rakyat Malaysia.

Tetapi hari ini pendapatan tahunan rakyat Korea puratanya adalah RM 66,000 setahun manakala rakyat Taiwan pula RM 52,700 .

Ia adalah merupakan angka duakali ganda berbanding dengan pendapatan rakyat Malaysia kini (Rahmat Haron,Suara Keadilan, Ibid,hlm.13).

Kedua-dua negara berkenaan ketandusan hasil minyak dan gas.

Manakala Malaysia pula mencatat keuntungan hasil sumber berkenaan sebanyak RM 70 billion setahun, tetapi tidak mampu bersaing dengan kedua-dua negara berkenaan.

Keadaan ini berlaku disebabkan oleh salah guna kuasa dan penyelewengan serta rasuah yang membarah di negara ini.

Di zaman Mahathir umpamanya entah berapa kali wang petronas digunakan bagi membail-out syarikat-syarikat kerajaan yang hampir bangkrap termasuk syarikat anaknya sendiri.

Inilah sebenarnya keadaan yang berlaku di bawah dasar DEB tersebut.

Kita juga pernah mendengar anak bekas Menteri Pengangkutan menjadi jutawan pada usia tiga puluhan, walaupun ia bukan seorang Melayu, tetapi begitulah mudahnya para kroni dan anak beranak dalam keluarga UMNO/BN.

Di zaman Paklah pula anaknya Kamaluddin tersenarai sebagai jutawan termuda negara dan kini menerajui syarikat Scomi yang mempunyai empayar yang cukup luas.

Bank Dunia pula mentakrifkan kemiskinan sebagai peminggiran dari kesempurnaan hidup.

Apa yang kita lihat hari ini, hidup rakyat marhaen Melayu tidak sesepmurna kaum lain meskipun lebih 30 tahun DEB dilaksanakan.

Kalau kita menonton rancangan Bersamamu TV3, yang ramai adalah orang Melayu.

Dan kalau kita meneliti ucapan MB Selangor pula, pendapatan di bawah RM 1,500 adalah tergolong sebagai miskin.

Usaha Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk menuntut gaji minima sebanyak RM900 masih belum tercapai, dan kalau ianya tercapai sekalipun, gaji minima itu masih di bawah paras kemiskinan jika mengikut kriteria MB selangor itu.

Harga minyak yang meningkat baru-baru ini telah menaikan harga barang yang mengurangkan kuasa beli rakyat,khasnya yang berpendapatan rendah.

Ini menambahkan lagi kadar kemiskinan yang ada, khasnya di kalangan orang Melayu yang menjadi bumiputra negara ini.

Memang kita tidak menggalakan mentaliti subsidi di kalangan orang Melayu, tetapi sekurang-kurang mereka terbela di negara sendiri dan tidak merempat di tengah-tengah kemelesetan ekonomi dunia sekarang ini.

Islam pula memberikan takrif yang tersendiri terhadap kemiskinan, di mana takrif atau definasi yang diberikan sesuai digunakan untuk sepanjang zaman.

Menurut Islam, rakyat yang berpendapatan melebihi dari separuh dari keperluannya dalam satu-satu hari tetapi tidak dapat mencapai atau memenuhi seluruh keperluannya pada hari itu, beliau di kira miskin.

Ini bermakna jika sekiranya beliau dan tanggungannya memerlukan RM30 sehari, tetapi ia hanya berpendapatan RM 20 sehari, maka itu dikategorikan dalam kelompok miskin.

Jika pendapatannya kurang separuh dari keperluannya dalam satu-satu hari, iaitu kurang dari RM15 jika mengambil contoh di atas, maka seseorang itu dikategorikan sebagai golongan fakir.

Pentafsiran Islam ini dapat dilihat dalam kitab-kitab tafsir atau kitab-kitab fiqh Islam yang menyentuh bab ini.

Pentafsiran Islam ini lebih sesuai untuk dipakai pada bila-bila masa pun, kerana ia tidak menetapkan jumlah pendapatan yang dikira sebagai miskin, tetapi berdasarkan keperluan pada sesuatu zaman itu.

Ini juga membuktikan Islam adalah satu agama yang sesuai dipraktikkan sepanjang zaman.

Ia bukan agama lapuk seperti tuduhan sesetangah orang UMNO/BN atau kuncu-kuncunya yang datang dari Timur atau Barat.

Namun bila Pakatan Rakyat, khususnya Ketua Pembangkang berhasrat untuk menghapuskan DEB dalam Agenda Malaysia Barunya, maka UMNO/BN pula melemparkan tuduhan sekiranya Kerajaan Pakatan terbentuk, orang Melayu akan hilang keistimewaannya dan juga ketuanannya.

Inilah tuduhan yang tidak berasas yang dilemparkan oleh UMNO/BN.

DS Anwar pula berkali-kali menekankan bahawa hak istimewa orang Melayu dan Ketuanan Melayu tetap tidak akan terjejas jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan.

Menurut DS Anwar,”Agenda Malaysia Baru Pakatan Rakyat akan menjadikan usaha membasmi kemiskinan sebagai agenda yang diberi keutamaan penting apabila berpeluang menerajui negara.

Ini sekaligus meletakkan hak keutamaan dan ketuanan Melayu sebagai usaha memartabatkan orang Melayu yang kebanyakannya terdiri dari golongan miskin (Suara Keadilan,Ibid,ms 11).

Jika orang-orang Melayu masih ragu-ragu lagi dengan janji-janji Kerajaan Pakatan, rasanya ada baiknya mereka memberikan peluang kepada kerajaan Pakatan Rakyat untuk satu penggal, dan kita lihatlah apa yang kerajaan pakatan akan lakukan untuk membantu orang Melayu khasnya, dan rakyat Malaysia amnya.

Jika sekiranya mereka gagal, kita tidak harus memberi peluang untuk mereka lagi.

Namun di sini, orang Melayu dan orang Malaysia seluruhnya mesti berani berubah barulah percubaan itu dapat dilakukan.

Jika kita tidak berani, kita tetap akan menjadi seperti sekarang untuk selama-lamanya.

Terpulanglah kepada rakyat Malaysia menentukannya.

Dan bagi orang Melayu, jaminan dari perlembagaan tetap ada, dan institusi kesultanan tetap akan menjadi benteng orang Melayu jika terjadi sebarang kemungkinan yang tidak diingini.


AlKundangi,
06.10.2008

http://www.marhaen.org/v1/mar_a_alkundangi03.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...