Tuesday, October 7, 2008

"Tak perlu ada 'team' dalam Umno" Tun



06 Oct 2008 8:50AM

KL: Mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam berkata anggota Umno yang ingin bertanding pada pemilihan parti Mac depan tidak perlu mewujudkan sebarang pasukan.
Beliau mengingatkan anggota Umno yang ingin bertanding supaya tidak terikut-ikut dengan cara pemilihan presiden Amerika Syarikat, di mana seseorang calon dikehendaki mempunyai rakan bertanding.

Yang penting, menurut beliau, pemimpin yang baru dipilih mestilah bersedia bekerja dengan sesiapa pun demi kebaikan parti.

'Ini bukan Amerika Syarikat. Tak perlulah ada pasukan. Kalau kita menang, pasukan kita menang. Nak bekerjasama dengan orang yang lawan kita itu susah.

'Kita boleh masing-masing bertanding jawatan masing-masing. Dan kita harus sanggup bekerjasama dengan sesiapa saja yang menang,' kata beliau kepada pemberita dalam majlis Rumah Terbuka di kediaman beliau di Seri Kembangan, dekat sini semalam.

Dr Mahathir juga mengalu-ngalukan keputusan beberapa anggota kanan parti yang mengumumkan hasrat untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden jika penyandang sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak, bertanding jawatan presiden.

'Baguslah. Jangan main kotor sudahlah. Jangan sogok. Kita tunjuk kebolehan kita, insya-Allah orang akan pilih kita. Tapi kalau guna tekanan, mengikat tangan orang, ini bukan demokrasi,' katanya.

Mengenai rancangan untuk menyertai semula Umno, Dr Mahathir berkata beliau belum memutuskan cawangan mana yang akan disertai.

Tetapi menurutnya, beberapa anggota Umno yang keluar parti mengikut jejak langkahnya pada 1 Mei lalu, hendaklah dibenarkan menyertai semula Umno.

'Sekarang ada lagi satu masalah besar. Rupa-rupanya ramai yang keluar daripada Umno selepas saya keluar. Jadi kalau saya masuk, orang ini tak dapat masuk, tidak adillah. Saya keluar mereka ikut, saya masuk mereka tak boleh ikut,' kata beliau. / Bernama

http://www.klpos.com/news/2008/10/06/3.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...