Harga pasaran gandum yang berlipat dua kali ganda sejak setahun lalu menyebabkan hanya segelintir sahaja yang mampu membeli jeruk, manisan dan roti-roti istimewa yang ditawarkan.
PENINGKATAN harga makanan dan minyak telah mengehadkan kuasa berbelanja untuk keraian berbuka puasa.
--------------------------------------------------------------------
DI dalam kediaman-kediaman Muslim di seluruh Asia, krisis inflasi ternyata begitu membayangi bulan Ramadan yang baru berlalu. Ini menjadikan pengalaman berbuka puasa sebagai satu peristiwa yang tidak seberapa indah untuk dikenang.
Dari Afghanistan ke Malaysia, harga makanan yang tinggi memaksa golongan kurang mampu 'tidak kenyang' menjamah hidangan berbuka puasa dan bersahur manakala inflasi yang berlaku turut mengehadkan tempahan bufet-bufet berbuka yang mewah daripada golongan berada, berbanding semasa zaman ekonomi sejahtera.
Di pasar-pasar dan bazar Ramadan, keadaan suram dalam suasana peniaga merungut bilangan pelanggan yang berkunjung ke gerai mereka berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Keadaan ini berlaku apabila orang ramai mengurangkan perbelanjaan mereka dalam menyediakan juadah berbuka.
"Strategi perniagaan kami pada tahun ini ialah hanya untuk kekal menyara kehidupan," kata Azahari Wahab sambil menyediakan ikan bakar di sebuah bazar Ramadan di Kuala Lumpur.
Katanya lagi, "Saya telah berniaga di bazar-bazar selama 20 tahun dan tahun ini adalah yang terburuk bagi saya. Biasanya saya menyediakan kira-kira 100 kilogram ikan sehari tetapi kali ini, ia turun kepada 30 hingga 40 kilogram."
Selain kekurangan pelanggan, Azahari berkata, faktor harga barangan yang 'meningkat lebih 100 peratus turut menjejaskan jualannya.
Di Afghanistan, salah sebuah daripada negara termiskin dunia menyaksikan pasar-pasar dipenuhi dengan pelbagai hidangan yang mempesonakan. Namun, harga pasaran gandum yang berlipat dua kali ganda sejak setahun lalu menyebabkan hanya segelintir sahaja yang mampu membeli jeruk, manisan dan roti-roti istimewa yang ditawarkan.
"Sebelum Ramadan dan Syawal, kami tidak mempunyai makanan yang mencukupi. Bagi kami, keadaan tetap sama dengan bulan-bulan yang lain.
"Bagi golongan miskin pula, tentulah ia begitu terasa pada bulan Ramadan dn Syawal," kata pemandu bas, Mohammad Gul.
Dalam krisis yang diburukkan lagi oleh pemberontakan Taliban yang menghalang pembangunan dan penghantaran bantuan makanan, badan kebajikan British, Oxfam telah mengeluarkan amaran bahawa sehingga lima juta rakyat Afghanistan akan berhadapan dengan kekurangan makanan yang teruk dengan kehadiran musim sejuk tidak lama lagi.
BOLEH dikatakan jualan di bazar di seluruh dunia menyusut ekoran inflasi.
--------------------------------------------------------------------
"Harga makanan sangat tinggi. Sukar untuk golongan miskin membelinya. Harga yang ada amat menakutkan," kata kakitangan awam, Ghulan Haidar di Kabul.
Indonesia, negara yang mempunyai populasi Muslim terbesar dunia, melihat harga makanan yang naik mendadak menjelangnya bulan puasa, meletakkan tekanan kepada keluarga yang sememangnya ditampar dengan peningkatan mendadak harga minyak subsidi.
Keluarga-keluarga di Jakarta berkata, peningkatan harga makanan dan minyak telah mengehadkan kuasa berbelanja untuk keraian berbuka puasa mereka.
"Saya selalu menghidangkan pencuci mulut untuk keluarga saya untuk berbuka sebelum kami menikmati hidangan utama yang terdiri daripada nasi. Tetapi, kini segalanya telah menjadi amat mahal dan kami tidak mampu lagi menyediakan pencuci mulut," kata Nena, seorang ibu kepada enam orang anak.
Di serata benua, hotel-hotel bertaraf lima bintang dan majlis-majlis kerajaan masih menawarkan hidangan berbuka yang enak tetapi tidak ramai pengunjung yang hadir dan harga telah dikurangkan.
"Perniagaan agak perlahan pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya iaitu sekurang-kurangnya 20 sehingga 30 peratus," kata Rosihan Anuar Ahmad, Pengarah Jualan di JW Marriott Kuala Lumpur di mana sajian bufet Ramadannya berkos separuh berbanding hotel-hotel lain.
"Kami mengenakan harga bufet secara strategik untuk menarik pelanggan datang dan menikmati hidangan di sini. Selain itu, kami juga berharap syarikat-syarikat besar memilih hotel ini untuk belanja kakitangan mereka berbuka," kata beliau lagi.
Di Bangladesh, harga makanan biasanya meningkat mendadak semasa bulan Ramadan telah memaksa kerajaan menyediakan 7,500 pasar istimewa.
Pasar-pasar tersebut menjual beras subsidi dan makanan ruji lain sungguhpun negara tersebut berhadapan dengan harga makanan yang naik 45.5 peratus berbanding setahun lalu.
"Kami cuba untuk tidak menaikkan harga item-item biasa agar golongan miskin tetap datang," kata peniaga, Mohammad Shukkor Miah di Chawkbazar yang terletak di kuarter lama ibu negara, Dhaka.
"Jumlah pelanggan yang datang adalah separuh daripada sebelum ini manakala keuntungan yang diraih pula lebih rendah. Kami terpaksa menaikkan harga item-item khusus dan tidak ramai yang membelinya."
Pembelian tradisi pakaian baru untuk sambutan Aidilfitri telah menjadi antara perkara pertama yang dikorbankan oleh keluarga Muslim yang berhadapan dengan kesukaran ekonomi ini.
"Kami tidak mendapat respons yang baik pada tahun ini. Terdapat pengurangan drastik pelanggan di bazar-bazar," kata Irfan Beg, pemilik sebuah gedung pakaian di ibu negara Pakistan, Islamabad.
"Tahun lalu, kami terpaksa mengupah pembantu jualan untuk memenuhi kekalutan Aidifitri tetapi pada tahun ini, pelanggan berkurangan. Ramai yang berkata, mereka tidak mampu membeli item-item tradisional iftar, jadi bagaimana mereka mampu membeli kemewahan barangan Aidilfitri?"
Sementara pemimpin-pemimpin negara dan editorial akhbar mengesyorkan mereka yang beribadat mengadakan keraian yang lebih ringkas tahun ini, ada yang merasakan kekangan kewangan harus diketepikan semasa musim ini.
"Apa maknanya Aidilfitri tanpa makanan, biskut dan pakaian baru? Ia adalah masa untuk diraikan dan bersyukur kepada Allah atas segala rezeki yang diberikanNya," kata Raina Samat, seorang pembantu jualan di Kuala Lumpur. - AFP
http://www.kosmo.com.my/07102008
No comments:
Post a Comment