Tuesday, October 7, 2008

Hindraf tidak biadab - Presiden PAS

Posted by: pinkturtle2 October 5, 2008


Mereka dibenarkan masuk, mereka masuklah... kalau tak dibenarkan, macam mana mereka hendak masuk. Saya rasa itu tidak biadab, itu demokrasi... biasa. Kalau kita tengok di negara Barat, mereka benarkan orang demonstrasi di depan Rumah Putih... itu biasa... Kita kena lihat ini sebagai satu perubahan zaman Perdana Menteri kitalah- Hj Hadi

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Hrkh) - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan penyokong Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) tidak biadab apabila bertemu Perdana Menteri pada rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet beragama Islam Rabu lalu.

Beliau berkata, tindakan penyokong Hindraf bertemu dan menyerahkan memorandum kepada Datuk Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu bukan sesuatu yang biadab dan perlu dipandang dari sudut positif.

“Mereka dibenarkan masuk, mereka masuklah… kalau tak dibenarkan, macam mana mereka hendak masuk. Saya rasa itu tidak biadab, itu demokrasi… biasa. Kalau kita tengok di negara Barat, mereka benarkan orang demonstrasi di depan Rumah Putih… itu biasa… Kita kena lihat ini sebagai satu perubahan zaman Perdana Menteri kitalah.

“Kalau betul mereka tak mahu bagi Hindraf masuk, mereka boleh halang. Tetapi apa yang berlaku tidak ada polis yang halang. Tak ada masalah mereka jumpa Perdana Menteri macam tu… saya pun ada orang datang ke rumah. Kita kena lihat ia sebagai perubahan demokrasi di Malaysia, lagipun mereka tidak buat kecoh atau bertumbuk,” katanya selepas berucap pada majlis perasmian Ijtima’ Aidilfitri anjuran Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Badan Perhubungan PAS negeri di Kuala Terengganu semalam.

Beliau meminta semua pihak melihat tindakan penyokong Hindraf bertemu Perdana Menteri pada majlis rumah terbuka itu sebagai demokrasi era baru.

Dalam kejadian itu, kira-kira 800 penyokong Hindraf berpakaian kemeja-T jingga beratur seawal jam 11 pagi bersama ribuan pengunjung lain untuk bersalam dengan Abdullah dan menyerahkan kad ucapan Aidilfitri yang turut diselitkan dengan mesej supaya Perdana Menteri membebaskan pemimpin Hindraf yang dikenakan tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Keadaan dilaporkan “menjadi kecoh seketika” oleh akhbar-akhbar pro-Barisan Nasional (BN) apabila mereka dihalang memasuki dewan jamuan di aras empat PWTC dan “melaungkan rasa tidak puas hati kerana menunggu terlalu lama untuk bertemu Perdana Menteri”.

Polis pula dilaporkan terpaksa campur tangan polis untuk mengawal keadaan.

Hindraf, yang begitu sukar dan tidak pernah berpeluang berjumpa Perdana Menteri dikutuk oleh para pemimpin Umno khususnya kerana menyampaikan bantahan mereka ke atas penahanan tanpa bicara rakan-rakan mereka di bawah ISA di rumah terbuka itu.

“Kami telah berusaha untuk berjumpa dengannya (Perdana Menteri) selama ini, jadi kami mengambil peluang hari ini. Kami datang dengan hati yang terbuka,” kata Koordinator Kebangsaan Ideologi Hindraf, W. Sambulingam.

K Shanti, isteri pemimpin Hindraf dalam pelarian P Waythamoorthy berkata, mereka hanya menyerahkan patung beruang dan kad tersebut sahaja.

“Dalam semangat saling bermaafan sempena Hari Raya Aidilfitri, kami mahu menyatakan bahawa orang-orang India di Malaysia memaafkannya (Perdana Menteri) kerana menghantar para pemimpin Hindraf ke (Kem Tahanan Perlindungan) Kamunting,” Malaysiakini memetik Shanti sebagai berkata apabila ditanya mengenai kad itu.

Selain 200 penyokong Hindraf itu, kira-kira 40 aktivis anti-ISA juga hadir ke rumah terbuka itu.

http://www.harakahdaily.net

http://pinkturtle2.wordpress.com/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...