Tuesday, October 7, 2008

Intip Nasha, penyelia dipenjara



PUTRAJAYA - Rayuan berakhir ke penjara.
Begitulah nasib penyelia dan pengurus selenggara, Ahmad Bakhtiar Abdul Kayoom yang dihantar ke Penjara Kajang semalam untuk menjalani hukuman selama enam bulan.

Ahmad Bakhtiar gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan menceroboh dan memasang kamera litar tertutup (CCTV) dalam apartmen sewaan peragawati terkenal, Nasha Aziz enam tahun lepas.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zaki Tun Azmi yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret pada 2004 terhadap Ahmad Bakhtiar.

Beliau memerintahkan Ahmad Bakhtiar menjalani hukuman itu mulai semalam.

Sebelum ini Ahmad Bakhtiar dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya di mahkamah lebih tinggi dan penangguhan hukumannya yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret.

Zaki berkata, tidak berlaku pelanggaran undang-undang walaupun Majistret Ida Hanani Abdul Karim terus mendengar perbicaraan itu selepas beliau dipindahkan ke Pejabat Peguam Negara sebagai Peguam Persekutuan di bahagian pendrafan.

"Ahmad Bakhtiar telah menceroboh hak peribadi orang, beliau (Nasha) adalah aktres terkenal, letakkan diri anda dalam keadaannya, semasa sedang mandi, adakah anda suka," kata Zaki.

Dua lagi hakim yang bersidang bersama-sama Zaki ialah dua hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk James Foong Cheng Yuen dan Datuk K.N. Segara.

Ida Hanani mendapati Ahmad Bakhtiar, 31, bersalah terhadap dua pertuduhan menceroboh masuk ke dalam apartmen Nasha yang nama sebenarnya ialah Noraisha A.Aziz, di Shahzan Court di Jalan Nipah Off Jalan Ampang dan menceroboh hak peribadinya dengan memasang kamera litar tertutup antara April dan Julai pada 2002.

Ahmad Bakhtiar dihukum penjara selama enam bulan bagi setiap kesalahan.

Bagaimanapun, Majistret Ida Hanani memerintahkannya menjalani hukuman itu serentak.

Usahanya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu di Mahkamah Tinggi juga tidak berjaya.

http://www.kosmo.com.my/07102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...