Apakah tahun depan nombor dua membawa tuah kepada anak Jawa Bagan Datoh itu
06 Oct 2008 9:06AM
Oleh Mohd Sayuti Omar
PENGUMUMAN yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi untuk bertanding Timbalan Presiden Umno mengejutkan banyak pihak. Pengumuman itu tak ubah seperti pokok yang bergoyang kuat tanpa ada angin meniupnya. Merujakan permerhatian umum!
Tidak kedengaran sebelum ini yang ahli Parlimen Bagan Datoh itu bercadang untuk menandingi jawatan itu. Jadi apabila beliau tiba-tiba mengumumkannya ia menyebabkan timbul sedikit tanda tanya.
Sebelum ini apa yang kendengaran ialah Zahid akan mencuba untuk kerusi Naib Presiden Umno. Desas desus itu tidak pelik kerana jawatan itu sangat sesuai dengan beliau dan beliau juga paling layak mengisikannya. Usia dan kematangannya dalam politik menjadikan jawatan itu amat padan dengannya.
Dengan kedudukannya selaku menteri dan pengalaman luasnya dalam politik yang pernah memegang jawatan Ketua Pemuda Umno dan menduduki MT diherarki top ten wajar kalau beliau menajak ke atas. Masanya sudah tepat sekali.
Naib Presiden jawatan yang dikira mudah untuk digapai oleh Zahid. Jika dibandingkan nama-nama yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu jelas kedudukan Zahid mengatasi mereka. Hishamuddin Hussein, Khalid Nordin, Shafei Afdal dan lain-lain tidak mampu mengatasi populariti Zahid.
Kemesaraan dan stail politik Zahid yang baik dengan semua orang dan boleh pejam mata dengan seteru politiknya bila berjumpa, adalah aset dan modal peribadi Zahid yang jarang dimiliki oleh orang politik.
Zahid juga seorang yang mesra dengan sesiapa saja. Kelebihan ini adalah sebahagian kehebatan Zahid.
Perwatakan, ketokohan dan idealiisme Islamnya juga menyebabkan beliau mulai dilihat sebagai tokoh agama dan Islam terulung dalam Umno.
Kehadiranya boleh mengganti tempat tokoh-tokoh agam dalam parti berkenaan seperti Wan Mokhtar Ahmad, Yusuf Noor atau Abdul Hamid Othman.
Malahan pembawaan Islam Zahid lebih dinamik dan progresif daripada tokoh-tokoh itu ini menyebabkan Islam seperti terjamin ditangan Zahid berbanding dengan mereka yang bergelar ustaz atau kiyai Umno.
Potensi ini jelas bila mana Zahid memberi reaksi yang diharapkan apabila setiap kali timbul isu mengenai agama Islam dan juga isu ketuanan Melayu.
Beliau sangat vokal dalam menangnai isu-isu ini. Semangat Islam dan Melayu yang tumbuh menyubur dalam jiwa Zahid menyempurnakan beliau sebagai seorang pemimpin parti Melayu seperti Umno.
Kekayaan dan kemewahan hidupnya juga memungkinkan untuk beliau melakukan persiapan bertarung merebut jawatan itu seadanya.
Zahid sudah ada pengalaman bagaimana hendak memikat hati perwakilan Umno semasa bertanding merebut jawatan ketua Pemuda tahun 1996. Justeru itu beliau dilihat mudah akan menduduki salah satu daripada kerusi berkenaan.
Sewaktu terserempak di Makkah dua minggu lalu saya ada mengatakan kepadanya, yang beliau akan (InsyaAllah) menang untuk kerusi Naib Presiden.
Apa yang beliau perlu kejar ialah mendapat tempat undi tertinggi kerana kemenangan seperti sadah di tangan. Zahid hanya ketawa mersa dan meminta saya berdoa. “Berkat doa ustaz,”katanya kepada saya seperti selalu yang dipamerkan.
Bila balik dari menunaikan umrah alih-alih beliau mengumumkan untuk bertanding kerusi timbalan presiden. Ini mengejutkan sedikit. Apakah gerangan maka beliau berminat kerusi berkenaan.
Apakah doa atau istiqarahnya di Makkah memberikan ilham kepadanya untuk bertanding kerusi nombor dua itu dan bukan kerusi nombor tiga! Apakah tahun depan nombor dua membawa tuah kepada anak Jawa Bagan Datoh itu.
Kalau ilham itu diperolehi menerusi istiqarakah apa boleh buat lagi, Zahid kena akur saja kalau tidak beliau akan ketulahan. Peluang dalam politik jarang menjelma dua kali biasanya sekali saja untuk seorang individu.
Pertunjuk di Makkah biasanya baik dan benar seperti mana yang beliau lakukan semasa hendak tanding Ketua Pemuda Umno tahun 1996 dulu. Di Makkahlah beliau buat keputusan itu dan kebetulan saya ada sama ketika itu.
Menurut Zahid ketetapan itu kerana berlaku kekosongan pada jawatan itu apabila ianya bakal ditinggalkan oleh Mohd Najib Razak.
Katanya lagi keputusan beliau itu juga kerana ada tanda-tanda akar umbi mendesak beliau berbuat begitu. Bagaimana pun keputusan itu juga tidak bermakna beliau ingin mendahului mana-mana pemimpin dan ianya dibuat berdasarkan telahan (firasat) beliau Najib akan meninggalkan kerusi berkenaan.
Memahami kata-kata Zahid itu ia memberi berbagai pengertian. Dan keputusan itu juga mempunyai strategi dan politik tersendiri.
Yang jelasnya, maksud Zahid itu seakan ingin menghalang hajat penyandang jawatan Naib Presiden Umno, Muhyiddin Yassin yang awal-awal lagi kemaruk untuk menduduki jawatan nombor dua itu.
Muhyiddinlah yang melakukan kerja untuk menolak Najib ke atas bagi membolehkan beliau mengisi tempat Najib itu. Seperti mana dugaan awal saya pelan peralihan kuasa dalam Umno adalah idea Muhyiddin yang dibuat kononnya untuk kepentingan parti walhal hakikinya untuk kepentingan dirinya.
Apakah Zahid mempunyai niat sedemikian? Kalaulah benar begitu ia tidak menjadi kesalahan malah cara Zahid itu tepat sekali.
Seharusnya ada yang berani untuk menegur atau pun menghalang menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu kerana kelancangannya dalam menegeluarkan kata-kata dan ideanya sehingga menyebabkan Abdullah Ahmad Badawi tidak senang duduk.
Dalam pada ini tindakan Zahid itu lebih kepada cuba membela Abdullah. Mungkin beliau merasakan tindakan Muhyiddin itu tidak patut.
Dari sudut lain saya merasakan tindakan Zahid itu seperti ada orang yang memberi dorongan kepadanya agar membuat kenyataan itu. Pasti sudah ada green light dari atas kalau tidak Zahid mungkin tidak bersedia untuk membuat kenyataan demikian.
Sebab jawatan yang paling afdal untuk Zahid ialah Naib Presiden Umno. Kalaupun beliau berjaya menduduki salah satu dari tiga kerusi itu ia merupakan kedudukan tertinggi bagi Zahid dan merupakan satu prestasi terbaik dalam kerjaya politiknya.
Apakah dalam soal ini Najib yang mengajar Zahid berbuat demikian? Ada desas desus mengatakan Najib tidak begitu sebulu dengan Muhyiddin. Muhyiddin bukannya regu atau kawan politik Najib.
Namun kalau dilihat kepada kerja Muhyuddin menghambat Abdullah itu menguntungkan Najib, tidak mungkin Najib tidak suka dengan kerja Muhyiddin itu. Bahkan Muhyiddin dikatakan akan bergabung dengan Najib menjatuhkan Abdullah?
Yang pastinya tentu ada orang memberi aspirasi dan sokongan kepada Zahid. Apakah orang itu Abdullah sendiri? Tidak mustahil.
Ada sebab kalau Abdullah memberi ilham kepada Zahid untuk mencuba jawatan itu dan sekaligus menganggu emosi Muhyiddin.
Sudah tidak menjadi rahsia lagi hubungan Abdullah dengan Muhyiddin akhir-akhir ini tidak begitu 'lendik'. Malahan jika dilihat secara zahir mereka berdua seperti ada masalah besar. Kalau tidak masakan Muhyiddin secara terbuka meminta Abdullah berundur! Jadi mungkin Abdullah menghantar Zahid untuk mengekang Muhyiddin.
Bagi Zahid pula tidak ada masalah untuknya berhadapan dengan Muhyiddin. Apa lagi kalau mendapat sokongan daripada presiden sendiri. Tentu Zahid merasakan bahawa beliau dijadikan anak emas oleh Abdullah.
Kalau tertakdir Zahaid berhadapan seorang sama seorang dengan Muhyiddin untuk jawatan itu, kemenangan berpihak kepada Zahid. Pengaruh Zahid juga bukan kecil anak.
Lagipun pengaruh Muhyiddin dalam Umno tidak konsisten. Beliau pernah menang dengan mendapat undi terbanyak untuk jawatan Naib Presiden tetapi undinya merosot kemudian meletakkan beliau sebagai Naib Presiden yang tercorot.
Dengan Muhyiddin bermasalah dengan Abdullah ini memberi kesempatan baik kepada Muhyiddin.
Lagipun sekiranya Najib bertanding kerusi presiden dan menang, Zahid tidak ada masalah untuk berada bersama Najib. Najib adalah bekas bosnya.
Zahid penah menjadi Setiausaha Politik, Timbalan Perdana Menteri itu dan beliaulah yang mengajarkan Najib dengan istilah Islam dan juga mengajar menyebut al Fatihah secara betul.
Untuk memantap ilmu agamanya dan memastikan Islam terus bersinar dalam Umno, Najib memerlukan orang seperti Zahidi sekiranya beliau menjadi PM kelak. Dengan latar belakang dan ilmu serta akhlak muslim yang baik Zahid boleh membantu dan membimbing Najib sekaligus.
Berdasarkan senario itu Zahid berada dalam keadaan di kiri untung di kanan laba kalau beliau mencuba nasib di kerusi nombor dua. Beliau boleh berkerja dengan sesiapa saja.
Dengan Abdullah samatelahlah. Abdullah yang memberi kepercayaan kepada Zahid untuk menjadi menteri setelah bekas ketua pemuda itu dinafikan haknya bertahun-tahun oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.
Begitu juga sekiranya Zahid sedia berdepan dengan Muhyuddin untuk kerusi nombor dua itu atas hajat untuk membela Abdullah ia dikira kena dan tepat sekali.
Tidak salah bagi Zahid sambil untuk memperbaiki kedudukan dirinya dalam hirerki politik Umno ianya juga untuk membela orang yang berbudi kepadanya.
Sebagai orang berlatar belakang Islam yang tahu mana halal dan haram, Zahid tentu pandai menghormati mana orang yang baik dan berjasa kepadanya.
Kita berharap Zahid istiqamah dengan keputusannya itu. Kemenangan Zahid kelak juga boleh menebus segala malu dan aibnya kepada Hishamuddin Hussein selama ini.
Hishamuddin yang menjadi pembantunya diberikan keistimewaan melampau di zaman Mahathir dimana ia dirasakan satu kezaliman kepada Zahid.
Mungkin kali ini giliran Zahid pula mengatasi atau mendapat kedudukan lebih tinggi dan lebih baik dari Hishamuddin. Kepada Zahid selamat mencuba namun harus juga waspada!
* Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com - Pengarang
http://www.klpos.com/news/2008/10/06/4.html
No comments:
Post a Comment