Tuesday, January 27, 2009

Akhlak makin teruk


Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: “Apabila merasa diri sudah tidak bertuhan lagi menyebabkan ramai lelaki atau suami seolah-olah relakan saja jenayah sosial ini, manakala wanita pula merasakan diri mereka tidak boleh dipersalahkan atas masalah yang sudah berlaku.

“Ini semua petanda bahawa keruntuhan akhlak masyarakat Islam semakin teruk selain kebangkitan semula zaman jahiliah,”
kata pakar motivasi, Dr Rubiah K Hamzah mengulas kes isteri curang yang lebih berminat memburu lelaki warga asing.

Kes isteri curang mencari ‘kekasih gelap’ atau ‘makan luar’ di kalangan lelaki warga asing berkerjaya profesional, dianggap trend baru selepas mereka mendakwa lelaki warga asing mampu memuaskan segala-galanya mengatasi suami yang gagal berbuat demikian.

Rubiah berkata, apabila akal manusia sudah bertunjang kepada nafsu dan bukan lagi Tuhan, mereka gagal mengenal erti dosa dan pahala sekali gus menggambarkan institusi kekeluargaan tidak lagi menjadi tapak semaian terbaik untuk anak.

“Tidak mustahil apabila masalah ini berlarutan lebih lama, anak muda yang disifatkan bakal pemimpin masa depan menjadi lebih buruk perangainya kerana mereka sudah disogok dengan suapan duit ‘gelap’ begini daripada ibu bapa.

“Kalau di zaman jahiliah berhala menjadi tunjang memesongkan akidah, di zaman ini duit disifatkan pengganti, malah orang yang hilang pegangannya ini mencari kemewahan kerana dianggap lebih penting dan selamat.

“Lebih teruk lagi mereka sudah sampai tahap yang merasakan tidak perlu ada tuhan yakni Allah SWT untuk hidup, sebaliknya wang serta kemewahan lebih diutamakan,”
katanya.

Beliau yang juga penceramah bebas menjelaskan penguatkuasaan undang-undang dan didikan agama perlu dikembalikan kepada bentuk asal jika mahu memperbetulkan keadaan yang pincang itu sekali gus membawa pelaku ke pangkal jalan.

“Jangan pula kita biarkan saja undang-undang tanpa penguatkuasaan dan rasuah berleluasa kerana ini menyebabkan mereka yang mahu menegakkan keadilan enggan lagi melaporkan sebarang kepincangan dalam masyarakat kerana aduan mereka tidak dilayan.

“Akhir nanti apabila sukar dibendung, maka hilanglah terus rasa kemanusiaan yang menjadi sendi dalam masyarakat, sebaliknya mereka (masyarakat) lebih gemar tutup mata dan biarkan saja apa yang berlaku tanpa rasa mahu membetulkannya,”
katanya.

Metro Ahad semalam melaporkan kes suami atau isteri curang mungkin bukan perkara baru hingga timbulnya istilah ‘makan luar’ atau ‘kekasih gelap’ di kalangan masyarakat, bagaimanapun kini timbul ‘trend’ baru di kalangan isteri curang apabila mereka lebih berminat memburu lelaki warga asing yang bekerjaya profesional.

Temu bual dengan empat isteri curang yang kini menjalin hubungan dengan lelaki asing, semuanya warga asing, semuanya mengaku hubungan dengan kekasih masing-masing bukan setakat kawan biasa tetapi sehingga ke bilik tidur.

Alasan diberikan mereka di sebalik perlakuan keji itu ialah kecewa sikap suami masing-masing yang disifatkan gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, selain hilang kepercayaan terhadap kewibawaan lelaki tempatan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126100203/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...