Tuesday, January 27, 2009

Arena Wati sempat siap transkrip tangan


SEMADI...Halimah menyiram air mawar di pusara Allahyarham
Arena Wati di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.


KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Muhammad Dahlan Abdul Biang atau lebih dikenali sebagai Arena Wati meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras pagi semalam akibat barah paru-paru.

Allahyarham yang berumur 84 tahun meninggal dunia jam 1.40 pagi.

Beliau terkenal di kalangan pelajar sekolah menengah satu ketika dahulu, menerusi novelnya Sandera yang dijadikan teks sastera.

Beliau yang menerima rawatan di HUKM sejak 20 September lalu meninggal di sisi isterinya Halimah Sulong dan dua orang anak, Ratna Siti Akbari dan Hasanuddin.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta tengah hari semalam untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada jam 3 petang.

Empat orang lagi anak Allahyarham ialah Rahmah Wati, Hirianty, Ilhamuddin dan Kamaluddin Rostor.

Anak sulung beliau, Rahmah Wati berkata ketika Allahyarham dirawat di HUKM, bapanya masih sempat berkarya dan menyiapkan transkrip tulisan tangan untuk trinologi terakhirnya yang berjudul Bara-Baraya.

“Trinologi itu akan diterbitkan tahun ini yang berkisar mengenai perjuangan Melayu Nusantara,” katanya.

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menyifatkan Allahyarham sebagai sesuatu yang amat bernilai dalam arena sastera.

“Beliau seorang produktif dalam menghasilkan karya seni dan mempunyai banyak ilham dihasilkan menerusi pengalaman hidup,” katanya.

Arena Wati dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupatan, Jeneponto, Makasar, Indonesia.

Beliau pernah menggunakan beberapa nama pena lain seperti Duta Muda dan Patria.

Arena Wati pernah dianugerahkan beberapa anugerah seperti SEA Write Award (1985), dan Anugerah Sasterawan Negara (1988).

Arena Wati juga pernah menceburkan diri dalam dunia kewartawanan sekitar tahun 1954 dan pernah menjadi editor di Pustaka Antara.

Antara karya Allahyarham ialah Eno (1985), Syair Pangeran Syarif (1989), Syair Pangeran Syarif Hasyim Al-Qudsi (1989), Syair Perang Cina Di Monterado (1989), Burung Badai (1990), Turina (1991), Citra (1991),

Memoir Arena Wati Enda Gulingku (1991), Ombak Samudera (1992), Meniti Kala by Arena Wati (1993), Panrita (1993), Sudara (1994), Mevrouw Toga (1995), Begawan (1996), Jejak Kreatif oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (1996), Koleksi Terpilih Arena Wati (1996), Sukma Angin (1999), Getar-Getir Maya Kumpulan Cerpen (2000), Trilogi Busa (2002).

Armageddon (2004), Kutukan Dari Langit (2004), Langkah Pertama Kumpulan Cerpen Awal, 1954-1959 (2004), 7 Tegak Bersama (2005), Warna Sukma Usia Muda (2005) dan yang terakhir Cakra Waruga (2006).


Kebanyakkan hasil karya beliau merungkai permasalahan kelompok bawahan dan berkisar mengenai nasib atau pembelaan terhadap golongan tertindas. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126101407/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...