Tuesday, January 27, 2009
Sindiket pukau pegang tangan mangsa
RAUB: Helah digunakan mereka cukup mudah. Dengan hanya memegang tangan, tindakan itu cukup membuatkan mangsa ‘pening’ seolah-olah terpukau sebelum diarah menyerahkan barangan kemas atau wang tunai.
Selepas berjaya diperdaya, mangsa kemudian dibawa ke sebuah restoran berhampiran sebelum anggota sindiket pukau itu bertanyakan pula alamat rumah mangsa bagi mengelak tindakan mereka dicurigai orang ramai.
Sebaik mendapat alamat rumah mangsa, ahli sindiket terbabit kemudian pergi menggeledah rumah berkenaan untuk melarikan barang kemas dan wang tunai.
Dalam kes terbaru, Rabu lalu, dua wanita dan seorang lelaki rakyat China dipercayai dalang sindiket itu, mulanya menghampiri mangsa berusia 30 tahun sebelum berpura-pura bertanyakan rumah ibadat mereka.
Sebaik mangsa memberikan maklumat, seorang daripada suspek dikatakan akan memegang tangan mangsa sebelum terus mengajaknya ke sebuah restoran berhampiran.
Mangsa yang kebingungan kemudian diminta menyerahkan barang kemas dan wang tunai hingga kerugian kira-kira RM18,500.
Sebelum beredar, dua wanita dan seorang lelaki itu kemudian memberikan mangsa `air suci’ serta tujuh biji tomato selain mengarahkan mangsa supaya tidak menoleh ke belakang.
Mangsa hanya tersedar beberapa jam kemudian sebelum mendapati barang kemas dan wang tunai miliknya lesap lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Samsuddin Wan Osman, berkata berikutan kejadian itu, polis menahan kumpulan terbabit di daerah ini, tidak lama selepas mangsa membuat laporan.
Menurutnya, dua wanita dan seorang lelaki berusia 20-an itu kemudian dibawa ke IPD Raub untuk membantu siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
Katanya, setakat ini, polis masih meneruskan siasatan lanjut kejadian terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil di IPD Raub bagi membantu siasatan.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126101955/Article/index_html
No comments:
Post a Comment