Tuesday, January 27, 2009
‘Pak Haji’ kaki belit
Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Rasa curiga yang kerap terdetik menyelamatkan seorang ahli perniagaan wanita daripada menjadi mangsa penipuan licik seorang ‘Pak Haji’ yang cuba ‘menyamun’ wang berjumlah ribuan ringgit miliknya dengan menceritakan kesusahan dialaminya, baru-baru ini.
Bagi menguatkan lagi helahnya, lelaki berusia lingkungan 50-an itu turut menyamar kononnya dia adalah suami kepada seorang pengetua sebuah sekolah menengah di bandar raya ini.
Mangsa berusia lingkungan 30-an yang mencurigai tindak-tanduk lelaki terbabit cuba mendapatkan kesahihan itu daripada guru lain di sekolah berkenaan.
Namun, gerak hatinya tepat apabila mendapati ‘Pak Haji’ terbabit adalah penipu sebelum mangsa membuat laporan polis.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi Jumaat lalu, mangsa yang tinggal di sebuah kawasan perumahan di Lembah Keramat, dekat sini mendakwa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang tidak dikenali.
“Lelaki itu dengan suara lembut memperkenalkan diri sebagai suami kepada seorang pengetua sebuah sekolah menengah di bandar raya ini dan memaklumkan dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk menghantar anaknya belajar di United Kingdom.
“Dalam perbualan itu, lelaki yang bergelar ‘Pak Haji’ memaklumkan meminta mangsa membantunya dengan alasan terlupa membawa beg anaknya yang mengandungi dokumen penting, termasuk buku akaun bank yang kononnya tertinggal di rumah,” katanya.
Sumber berkata, lelaki terbabit merayu agar mangsa meminjamkan wang RM5,000 untuk diberikan kepada anaknya.
“Mangsa yang kasihan bersetuju memasukkan wang ke dalam akaun bank seperti diminta sebelum bertanyakan ‘Pak Haji’ itu di mana bank berhampiran serta butiran dirinya.
“Lelaki itu dikatakan secara tiba-tiba menjadi panik dan berjanji akan menghubunginya semula sebelum mematikan talian,” katanya.
Katanya, kira-kira setengah jam kemudian, lelaki itu menghubungi mangsa semula dan memberitahu bank berdekatan rumahnya dan namanya sebagai ‘Haji Nik Hamid’
“Namun, mangsa mula mengesyaki ada sesuatu apabila ‘Pak Haji’ terbabit hanya akan memberitahu nombor akaun banknya selepas dia sampai di bank berkenaan di sebuah kompleks beli-belah di Wangsa Maju.
“Mangsa kemudian menghubungi seorang kenalannya yang juga guru dan bertugas di sekolah di mana isteri ‘Pak Haji’ berkenaan mendakwa pengetua sekolah itu adalah isterinya.
“Mangsa terkejut apabila dimaklumkan nama suami pengetua itu lain dengan nama yang diberi ‘Pak Haji’ berkenaan,” katanya.
Sumber berkata, mangsa kemudian dihubungi sekali lagi oleh ‘Pak Haji’ itu dan kali ini, mangsa meminta nombor telefon isterinya.
“Mangsa menghubungi nombor diberi ‘Pak Haji’ itu dan mendapati satu suara lelaki bukan Melayu mengangkat telefon berkenaan,” katanya.
Bimbang sesuatu buruk berlaku, mangsa membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126101924/Article/index_html
No comments:
Post a Comment