Tuesday, January 27, 2009

Tiada iman, tanggungjawab



KUALA LUMPUR: Isteri tidak boleh dipersalahkan 100 peratus apabila bersikap curang kerana kecurangan itu sering berpunca daripada kegagalan suami menjalankan tanggungjawab selaku ketua keluarga dan memberi didikan dunia serta akhirat kepada isteri.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata seorang suami perlu bertegas dalam banyak perkara, khasnya membabitkan hukum agama, kerana kegagalan berbuat demikian menyebabkan rumah tangga rapuh dan mudah runtuh.

Menurutnya, perkara seperti itu menjadi satu daripada punca fenomena isteri curang di kalangan masyarakat Islam hari ini.

“Jangan terlalu banyak menyalahkan wanita kerana lelaki juga ada peranan dalam rumah tangga dan jika gagal melaksanakannya, ada kemungkinan perkara seperti kecurangan berlaku.

“Jika suami gagal mendidik isteri dunia dan akhirat atau menjadi contoh baik, tidak mustahil juga isteri melakukan perkara sama atau lebih teruk,”
katanya.

Selain itu, menurut beliau, pasangan berkahwin mungkin boleh membuat pelbagai alasan untuk mengikut teman baru.

“Bagaimanapun, tiada alasan untuk menghalalkan kecurangan terbabit kerana dosa tetap dosa, lebih-lebih lagi jika berzina dengan pasangan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Mastura Badzis, berkata sebagai ketua keluarga, suami perlu lebih peka dengan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sepanjang melayari kehidupan berumah tangga.

“Jika ada sesuatu yang tidak kena dalam rumah tangga, suami perlu menilai semula peranannya. Perbaiki kekurangan, jika tiada apa tidak kena dengan peranan yang dilaksanakan, tidak timbul masalah isteri berlaku curang,” katanya.

Menurut Mastura, faktor keimanan turut menyumbang kepada kebahagiaan rumah tangga kerana apabila iman terjejas, timbullah masalah berkenaan.

“Sama ada di pihak suami atau isteri, apabila berlaku masalah keimanan, ia menyumbang kepada masalah di dalam rumah tangga. Justeru, soal iman jangan dipandang ringan,” katanya.

Mastura berkata, masalah curang di kalangan isteri membimbangkan kerana ia bukan saja memberi kesan negatif kepada anak, malah menjadi racun dalam pembentukan masyarakat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090125091906/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...