Tuesday, January 27, 2009

Suami mungkin terkena penangan ilmu hitam



KUALA LUMPUR: Suami yang masih sanggup bertoleransi selepas mengetahui isterinya menjalin hubungan dengan lelaki lain, dan diperlakukan seperti hamba berkemungkinan besar terkena ‘penangan’ ilmu hitam.

Demikian reaksi Pengarah Perancangan dan Strategi Kumpulan Penyokong dan Pengaruh Profesional Islam (Pisang), Hanafi Abdul Malek (gambar), ketika mengulas kejadian seorang lelaki berjawatan tinggi di Kangar, Perlis, menjadi mangsa buli isterinya termasuk dicederakan.

Katanya, perbuatan isteri seperti itu bukan saja melanggar norma masyarakat, malah dilaknat Allah.

“Berdasarkan pengamatan, ada kemungkinan suami itu diguna-gunakan dengan ilmu penunduk kerana jarang orang berjawatan tinggi sepertinya boleh dibuli sedemikian rupa. Biasanya, suami terkena ilmu penunduk tidak perasan diperlakukan pelbagai perkara di luar batasan isteri dan sering memberi alasan toleransi serta tidak ingin bergaduh bagi menjaga kerukunan rumah tangga.

“Jika tidak menggunakan ilmu hitam sekalipun, isteri berkenaan tetap dilaknat kerana satunya, sanggup mendera dan kedua melakukan hubungan sulit dengan lelaki lain.,”
katanya.

Harian Metro sebelum ini mendedahkan seorang lelaki berjawatan tinggi dengan pendapatan lebih RM10,000 sebulan sanggup menjadi mangsa buli isterinya, termasuk dicederakan.

Paling menyedihkan, dia hanya diberikan wang saku RM20 setiap hari kerana wang gaji bulanannya dikawal isterinya.

Lebih malang, wanita itu turut mengambil kesempatan bermain kayu tiga apabila menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain.

Bagaimanapun, lelaki itu yang terlalu sayangkan isterinya hanya berdiam diri walaupun dia sepatutnya menjadi ketua keluarga.

Mengulas lanjut, Hanafi berkata, terdapat juga kemungkinan isteri lelaki berkenaan mengambil kesempatan menggunakan pendekatan psikologi selepas mengetahui kelemahan suaminya.

“Mungkin si suami mati pucuk atau mempunyai hutang sehingga isterinya mengugut mendedahkan kelemahan suami kepada masyarakat. Untuk mengetahui sama ada disihir atau tidak, lelaki itu perlu menjalani ujian imbasan pakar dalam bidang perubatan Islam,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pakar Psikiatri Forensik Universiti Malaya, Dr Muhammad Muhsin, ketika dihubungi, berkata sungguhpun tidak banyak, memang terdapat kes sedemikian dilaporkan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126100115/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...