Tuesday, January 27, 2009

Obama: Amerika bukan musuh negara Islam


Selasa Januari 27, 2009

WASHINGTON: Dalam temu bual yang pertama dengan stesen televisyen Al Arabiya sejak melangkah ke White House minggu lalu, Presiden Barack Obama menekankan soal ikatan peribadinya dengan dunia Islam dan harapan untuk melihat kewujudan sebuah negara Palestin.


"Saya mempunyai keluarga saya yang beragama Islam. Saya pernah tinggal di negara-negara Islam," kata Obama yang merupakan Presiden yang ke-44 Amerika Syarikat (AS).


Beliau mengangkat sumpah pada 20 Januari lalu menggantikan Presiden George W. Bush, yang dilihat oleh banyak pihak sebagai 'musuh' dan menjalin hubungan dingin dengan dunia Islam.


Dalam transkrip yang diedarkan oleh White House hari ini, Obama berkata:


"Tugas saya kepada dunia Islam adalah untuk menyampaikan mesej bahawa rakyat Amerika bukan musuh anda."


"Kami kadangkala melakukan kesilapan - kami bukan sempurna," kata Presiden pertama daripada kalangan masyarakat kulit hitam.


Temu bual dengan Al Arabiya yang ditujukan kepada masyarakat Islam di seluruh dunia, menekankan visi peribadinya - perubahan antarabangsa bersimbolik yang ditekankan oleh Obama sepanjang kempennya untuk menawan White House.


"Bagaimanapun jika anda melihat pada rekod prestasi (AS)... Amerika tidak lahir sebagai kuasa penjajah dan oleh itu, penghormatan dan rakan kongsi sama (sifatnya) yang Amerika miliki dengan dunia Islam, antara 20 hingga 30 tahun lalu, dan tiada sebab mengapa kita tidak boleh mengembalikannya," tambah beliau.


Ketika kempen pemilihannya, Obama telah berjanji untuk memperbaiki hubungan dengan dunia Islam.


Mesej hampir serupa juga ditekankan oleh Obama dalam ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden minggu lalu.


Kata Obama, beliau akan mengambil bahagian dalam forum-forum Islam di luar negara untuk menyampaikan mesej itu.


"Kami akan melakukan untuk memenuhi komitmen kami bagi membolehkan saya memberikan ucapan dari sebuah ibu negeri negara Islam," kata Obama kepada stesen yang berpangkalan di Dubai.


Bagaimanapun beliau tidak menyatakan lokasi yang bakal beliau kunjungi dan masa.


"Kami akan melakukan untuk melaksanakan komitmen-komitmen saya agar lebih efektif dalam mendampingi, mendengar serta bercakap kepada dunia Islam," katanya.


Obama juga ditanya mengenai mesej yang disampaikan oleh rangkaian Al-Qaeda baru-baru ini sejak dipilih November lalu.


Beliau bersetuju dengan penemu bual bahawa suara rakaman video yang terbaru kelihatan "gugup".


"Apa yang ia menyatakan kepada saya ialah mereka muflis idea," katanya.


Mengenai perkembangan di Asia Barat, Obama memberitahu Israel dan Palestin bahawa sudah tiba masa kedua-duanya kembali ke meja perundingan.


Obama juga telah menghantar duta khas AS, George Mitchell ke rantau itu.


Bagaimanapun presiden baru itu tidak mahu harapan yang tinggi diletakkan dalam usaha mencari penyelesaian berhubung konflik Israel-Palestin.


"Saya percaya masa sudah tiba untuk kedua-dua pihak sedar bahawa hanya mereka yang akan menghasilkan kemakmuran dan keamanan di rantau itu," kata beliau sambil menambah, "malah, ini masanya untuk kembali ke meja perundingan."


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/27/mstar_berita/20090127145309&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...