Tuesday, January 27, 2009

Polis palsu tumpas sewaktu cari mangsa


Oleh SALMAN HAMAT
salman@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: Dua polis palsu yang selama ini bermaharajalela menyamun orang ramai akhirnya tumpas apabila ditahan polis yang menjalankan rondaan pencegahan jenayah, semalam.

Difahamkan, ketika ditahan pada jam 2 pagi, suspek seorang warga tempatan manakala rakannya warga Indonesia dikatakan merayau-rayau di sekitar Jalan Bukit Bintang, di sini, dipercayai mencari mangsa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, berkata kejayaan pihaknya menahan kedua-dua suspek berkenaan adalah hasil maklumat orang ramai apabila mereka dikatakan sering menjadikan orang awam sebagai mangsa samun.

“Sejurus ditahan, suspek terbabit kemudian membawa kami ke sebuah bilik hotel yang disewa untuk pemeriksaan, hasilnya berjaya menemui satu set lengkap pakaian seragam polis berpangkat Cif Inspektor dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.

“Suspek dikatakan aktif menyamun di sekitar Jalan Bukit Bintang. Biasanya mereka mengenal pasti mangsa terlebih dulu lalu menahan dan mengarahnya menyerahkan barang berharga serta wang tunai sebelum dilepaskan,”
katanya.

Pemeriksaan turut mendapati seorang suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau, termasuk satu waran tangkap atas dakwaan mencuri.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 dan 170 Kanun Keseksaan atas dakwaan samun berkawan dan menyamar sebagai penjawat awam. Kedua-dua suspek turut ditahan reman bermula semalam.

Zulkarnain turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan individu mencurigakan yang mengaku sebagai anggota polis menghampiri mereka.

“Jika berasa sangsi, orang ramai boleh meminta anggota berkenaan menunjukkan kad kuasa sebelum membenarkan mereka menjalankan pemeriksaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090125091740/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...