Monday, May 4, 2009

50 warga Mexico dikurung


DUA pengawal keselamatan mengawal sebuah hotel yang didiami oleh warga Mexico di Beijing semalam.



DUTA Mexico ke China, Jorge Guajardo membantu mengangkat kotak plastik mengandungi makanan untuk dihantar kepada beberapa rakyatnya yang dikuarantin.


BEIJING - Pihak berkuasa China mengurung lebih 50 warga Mexico di beberapa buah hotel sebagai langkah kuarantin kerana bimbang penularan wabak influenza A H1N1, kata seorang pegawai kedutaan Mexico di sini semalam.

Menurut seorang pegawai kedutaan, Duta Mexico di China, Jorge Guajardo terpaksa pergi ke Hotel Guo Men di Beijing bagi menemui lebih 10 warga Mexico yang ditahan tetapi beliau tidak dibenarkan berjumpa mereka.

Warga Mexico yang diasingkan itu kebanyakannya ahli perniagaan dan pelancong.

Menurut seorang pegawai kedutaan, mereka ditempatkan di beberapa lokasi berbeza di China termasuk di Hong Kong.

Seramai 35 warga Mexico berada di Shanghai, enam di Guangzhou dan enam lagi di Hong Kong.

"Semua warga Mexico yang ditahan itu tidak mempunyai gejala influenza A H1N1 kecuali seorang lelaki yang ditahan di Hong Kong," kata pegawai itu.

"Langkah yang diamalkan oleh China itu adalah satu perbuatan diskriminasi. Kementerian Luar mengesyorkan rakyat Mexico membatalkan lawatan mereka ke China sehingga langkah itu dibetulkan," kata Menteri Luar Mexico, Patricia Espinosa.

Espinosa kelmarin mengkritik Beijing kerana mendakwa rakyatnya diasingkan walaupun mereka tidak menunjukkan gejala selesema.

Perbalahan itu mengancam hubungan dua hala namun Beijing menyatakan tindakannya berasas dan sah di sisi undang-undang.

Lebih 100 kematian suspek virus H1N1 berlaku di Mexico manakala 19 adalah kes positif.

Mexico mengurangkan bilangan yang meninggal dunia akibat virus tersebut itu berbanding 176 kematian yang dilaporkan sebelum ini.

Kementerian Luar China tidak memberi ulasan berhubung kritikan Espinosa.

Bagaimanapun, seorang jurucakap kerajaan tempatan di Shanghai, Chen Qiwei berkata, tindakan China itu sejajar dengan peruntukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Jumlah populasi China yang melebihi angka 1.2 juta itu menyukarkan pengawalan penularan virus berikutan keadaan infrastruktur kesihatan yang tidak baik.

Sementara itu di Kaherah, pihak berkuasa Mesir berkata, pasukan polis terpaksa melepaskan tembakan ke udara dan gas pemedih mata ke arah pemilik babi yang menghalang pekerja kerajaan daripada menghapuskan haiwan tersebut.

Seramai 12 orang cedera dalam kejadian di Manshiyet Nasr iaitu sebuah kawasan setinggan.

Mesir mengarahkan semua 300,000 babi di negara itu dimusnahkan walaupun belum ada kes influenza dikesan di negara itu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...