Monday, May 4, 2009

Tiada sambutan kemerdekaan tahun ini




KUALA LUMPUR - Jika anda berniat untuk merasai kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 pada tengah malam 31 Ogos nanti, mungkin hasrat itu terpaksa dilupakan seketika atau sekurang-kurangnya sehingga 2011.

Ia kerana acara yang dirai penuh meriah itu pada setiap 31 Ogos itu buat julung kalinya tidak disenaraikan di dalam kalendar rasmi perayaan Bulan Kemerdekaan pada Ogos sehingga September ini.

Sebaliknya, menurut laman web Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, beberapa acara bercorak keagamaan bakal disusun bagi mengisi program sambutan kemerdekaan negara yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadan.

Apa yang menarik, jadual beberapa acara sempena perayaan kemerdekaan negara kali ini juga dianjak lebih awal oleh Cawangan Acara dan Protokol, Bahagian Pengurusan Acara di kementerian tersebut sebagai menghormati bulan Ramadan.

Antaranya ialah Sayembara Puisi Merdeka di Ipoh pada 13 Jun, Pertandingan Kuiz Kemerdekaan 2009 di Melaka pada 9 Julai dan Pertandingan Akhir Debat Kemerdekaan Ala Parlimen di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai pada 18 Ogos.

Bulan Kemerdekaan yang pada kebiasaannya bermula dari 17 Ogos hingga 16 September turut tiada dalam kalendar acara anjuran kementerian itu kali ini.

Ia sebaliknya diganti dengan Majlis Semarak Ramadan dan Gema Aidilfitri.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...