Monday, May 4, 2009

Budak didera tinju ibu tiri

KUALA LUMPUR: Akibat tidak tahan didera ibu tirinya, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun sanggup bertinju dan melepaskan tumbukan ke arah wanita terbabit yang terlebih dulu menendang perutnya sekuat hati.

Dalam kejadian itu, murid tahun lima berkenaan ‘naik angin’ kerana ibu tirinya yang berusia 36 tahun kerap memarahi dan menderanya hanya kerana perkara kecil.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, ibu tiri kanak-kanak berkenaan mengambil semua alat permainan milik mangsa di dalam beg plastik sebelum disimpan dalam stor di rumah mereka di Damansara Utama.

Menurutnya, mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan ibu tirinya itu mengeluarkan semula beg plastik berisi permainan berkenaan.

“Tindakannya itu menyebabkan wanita yang bekerja sebagai kakitangan pentadbiran itu berang sebelum menghayunkan beg plastik itu ke arah muka kanak-kanak berkenaan sekuat hati.

“Tidak cukup dengan itu, wanita berkenaan menendang perut mangsa sebanyak tiga kali berturut-turut,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang kesakitan dan tidak berpuas hati dengan tindakan ibu tirinya itu membalas semula pukulan berkenaan sebelum mengenai tangan ibu tirinya itu.

“Tindakan beraninya itu menyebabkan ibu tirinya memukul semula mangsa.

“Pada masa sama, ibu tiri kanak-kanak itu mengadu kepada suaminya berhubung tindakan mangsa memukulnya sebelum dia dipaksa meminta maaf kepada ibu tirinya itu,”
katanya. 

Kejadian berkenaan bagaimanapun tidak berakhir di situ apabila mangsa dan adik perempuannya tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah oleh ibu tiri keesokan harinya.

“Malah, mangsa yang baru pulang dari sekolah disuruh menunggu di luar pintu rumah sehingga bapa mereka pulang dari kerja.

“Tindakannya itu, menyebabkan kanak-kanak berkenaan yang sebelum ini dipukul mengalami sakit kepala dan perut,”
katanya.

Akibat tidak tahan dengan penderaan fizikal dan mental dialami, kanak-kanak berusia 10 tahun itu mengambil keputusan untuk membuat laporan di Balai Polis Damansara.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...