Monday, May 4, 2009

Rumsfeld dikaitkan dengan ubat Tamiflu


UBAT Tamiflu digunakan untuk merawat penyakit influenza A H1N1.



RUMSFELD


WASHINGTON - Syarikat pengeluar ubat virus selesema Tamiflu kini dilanda kontroversi selepas bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Donald Rumsfeld dikaitkan mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Sebuah akhbar semalam melaporkan Rumsfeld yang merupakan bekas pengerusi syarikat itu enggan mengulas mengenai pegangan sahamnya dalam syarikat Gilead Sciences.

Syarikat itu menghasilkan ubat tersebut yang kini dicari oleh semua pihak di dunia untuk membendung wabak influenza A H1N1.

"Beliau (Rumsfeld) tidak membincangkan isu kewangan peribadi secara terbuka," kata seorang jurucakap Rumsfeld.

Bagaimanapun, jika Rumsfeld masih mempunyai saham dalam syarikat itu, beliau mungkin menerima faedah akibat permintaan tinggi ubat tersebut.

Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britian (NHS) membeli Tamiflu yang cukup untuk merawat dua pertiga daripada penduduk Britain.

Rumsfeld yang berkhidmat ketika era pentadbiran bekas Presiden George W. Bush sebelum ini dituduh berhadapan konflik kepentingan peribadi berikutan hubungannya dengan Gilead Sciences yang menjual hak pelesenaan kepada syarikat perubatan Switzerland, Hoffman-La Roche pada 1996.

Menurut perjanjian, Gilead yang diketuai Rumsfeld pada 1997 hingga 2001 masih menerima antara 14 hingga 22 peratus pendapatan daripada jualan pukal ubat-ubatan.

Saham Rumsfeld dalam Gilead meningkat dari jangkaan £3 juta (RM16 juta) kepada anggaran £17 juta (RM92 juta) akibat selesema burung.

Rumsfeld mendapatkan nasihat daripada peguamnya selepas berita mengenai pemilikan sahamnya dalam syarikat itu tersebar. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...