Monday, May 4, 2009

GRO tua enggan taubat

Dua kali Halimah, 43, mengandung anak luar nikah dan keluar masuk rumah perlindungan tetapi dia masih kembali ke lembah noda.


HALIMAH mendakwa terdesak walaupun tahu kerja sebagai GRO berdosa.


HALIMAH Mohamad, 43, pernah menganggap dirinya sebagai wanita paling malang. Tidak lama dahulu, dek kerana perempuan lain, suaminya meninggalkan dia bersama empat orang anak yang masih kecil sehelai sepinggang.

Dia yang jatuh tersungkur ketika itu hanya memikirkan satu jalan mudah untuk mencari duit iaitu berhijrah ke Kuala Lumpur.

Berbekalkan foto anak-anaknya, ibu ini meninggalkan empat permata hatinya di bawah jagaan ibunya di Kedah dengan harapan dia mampu menitipkan kesenangan buat keluarganya apabila sampai di bandar raya.

“Saya datang ke Kuala Lumpur sekitar lewat 1990-an. Itulah kali pertama saya sampai di sini. Saya bekerja sebagai promoter di sebuah pusat beli-belah dengan gaji RM550 sebulan.

“Dua bulan kerja promoter, saya mula keluar malam dan masuk kelab dangdut dan karaoke, cari kerja kosong. Seminggu meninjau, saya tinggalkan kerja promoter dan mula kerja sebagai GRO setelah memikirkan kerja itu lebih mudah dan gajinya juga lumayan.

“Sebagai GRO, saya bekerja dari pukul 3 petang dan habis sekitar 2 pagi. Agak mewah juga hidup ketika itu, pakai kereta besar, tinggal pun di kondominium,” katanya.

Halimah yang kini mengandung lima bulan hasil hubungan sulit dengan teman lelakinya masih lagi menjadi pelayan di kelab-kelab makan di sekitar Kuala Lumpur. Baginya, hamil bukan satu halangan besar yang boleh menyekatnya daripada terus bekerja.

“Saya hanya menemankan pelanggan menyanyi dan berhibur, saya bukan jenis GRO yang ‘mengangkang’ dan ikut pelanggan balik ke hotel, jadi tiada masalah walaupun perut ini memboyot.

“Ini adalah kali kedua saya mengandungkan anak luar nikah. Walaupun anak yang bakal lahir ini adalah anak haram, saya tak sampai hati nak gugurkan.

Anak luar nikah saya yang pertama umurnya baru mencecah setahun. Selepas dua minggu lahir, saya serah pada keluarga angkat. Mungkin yang ini pun saya akan beri pada orang kerana saya tak mampu nak jaga mereka,” katanya.




Jelas Halimah, kedua-dua anak luar nikah yang dikandungnya adalah hasil hubungan sulit bersama dua teman lelakinya.

“Saya akui, walaupun pada usia 40-an, keinginan seks saya masih tinggi. Boleh dikatakan, seks adalah hidangan wajib saya hampir setiap hari.

“Sebab itu apabila didapati hamil, saya tidak hairan dan mahu terus ‘membelanya’,” kata Halimah.

Azam berhenti selepas bersalin

Ditanya mengapa dia tidak serik mengulang kesilapan yang sama, dengan tenang Halimah menjawab: “Siapa pun tidak mahu nasibnya jadi begini. Kalau boleh, saya pun tak mahu kotorkan diri saya tapi saya terdesak.

“Namun, saya sedar, dalam usia sebegini, saya sepatutnya sudah tinggalkan kelab malam dan dekatkan diri dengan Tuhan, tapi beri saya sedikit masa, lagipun tidak selamanya GRO itu akan sentiasa ‘laku’ bukan?” katanya.

Walaupun kedua-dua teman lelakinya tidak bertanggungjawab, dia sedikit pun tidak sedih kerana baginya kehidupannya sudah hancur apabila suaminya menjatuhkan talak padanya dahulu. “Selepas melahirkan anak dua tahun lepas, saya memang simpan niat nak bertaubat.

“Tetapi selepas habis pantang, saya mula berfikir, macam mana nak sara diri dan hantar duit ke kampung kalau tidak bekerja? Disebabkan kesempitan, saya terjebak semula ke gelanggang yang sama,” katanya.

Apabila didapati mengandung untuk kali kedua tanpa suami, kesedaran mula timbul dalam dirinya untuk insaf dan kembali ke pangkal jalan dan tekadnya kini, selepas bersalin, dia akan berhenti menjadi kupu-kupu malam.

“Kesedaran itu timbul apabila saya bertemu semula dengan pengelola di Rumah Sinar Salam baru-baru ini. Sebelum ini, saya tinggal di sana semasa menunggu kelahiran anak luar nikah yang pertama dan menjalani pantang.

Kak Arfidah selalu menasihatkan saya tentang kehidupan yang lebih positif. Dulu ada juga azam nak berubah, tapi hangat-hangat saja.

“Namun apabila mengandung kali ini, timbul rasa yang sangat berdosa dan betapa hinanya saya di sisi Tuhan. Itu yang menjadikan saya nekad untuk tinggalkan terus kerja ni selepas bersalin nanti.

“Adakalanya saya sangsi apakah taubat saya ini akan diterima sedangkan sudah terlalu banyak dosa yang saya lakukan. Katakan apa saja, cuma membunuh saja yang saya tak buat. Saya berharap, masih ada sejalur sinar buat saya,” rintihnya.

Tiga daripada lima kes berulang

MENURUT Pengelola Rumah Sinar Salam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, Arfidah Ab. Latiff, 55, memang ada kes-kes berulang di kebanyakan rumah perlindungan khasnya bagi kes mengandung luar nikah.

“Boleh dikatakan setiap yang datang kepada kita belum tentu akan ‘bersih’ sepenuhnya. Jika ada lima wanita yang diberi perlindungan, tiga atau empat daripadanya akan datang semula dengan masalah baru.

“Kita tidak boleh menolak kerana bimbang mereka akan jadi lebih teruk.

“Sekurang-kurangnya di sini mereka ada tempat perlindungan dan mengisi masa lapang dengan pelbagai aktiviti yang mendekatkan mereka kepada Allah seterusnya menanamkan sikap positif dalam diri mereka,” katanya.

Rumah kebajikan Rumah Sinar Salam terletak di Chow Kit, Kuala Lumpur.


ARFIDAH mengaku wanita yang mencari perlindungan di Rumah Sinar Salam belum tentu akan 'bersih' sepenuhnya.


Tambah Arfidah, masalah kes berulang bukan sesuatu yang baru, sebab itu seluruh sistem masyarakat bertanggungjawab untuk membantu mereka kembali ke landasan yang sepatutnya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Khalijah Yahaya pula berkata, kes berulang banyak melibatkan pelacur.

“Malah ada kes wanita berusia 40-an yang sudah lima kali mengandung anak luar nikah keluar masuk ke rumah perlindungan kami,” katanya.

Jelas Khalijah, punca utamanya adalah sikap suka bersuka ria dan mahu mendapat kemewahan dengan cara yang mudah. Mereka selalunya terlibat dalam kegiatan yang sama walaupun telah menjalani proses pemulihan sebelumnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...