izawan@hmetro.com.my
GATAL...spesies ulat bulu yang menjadi punca gatal dan ruam. |
SUBANG JAYA: Misteri penyakit gatal dan ruam yang dihidapi 128 penduduk di Jalan 8/1A Bukit Serdang di sini sejak awal April lalu dikesan berpunca daripada sejenis spesies ulat bulu bersarang di pokok dan belukar berdekatan kawasan penempatan berkenaan.
Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, berkata perkara itu terjawab hasil mesyuarat dengan Jabatan Kesihatan, Jabatan Kimia, Jabatan Alam Sekitar, Alam Flora Sdn Bhd dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Khamis lalu.
“Pada mulanya, kami mengesyaki masalah kulit penduduk disebabkan pencemaran air atau udara sebaliknya siasatan mendapati ribuan ulat bulu di kawasan belukar berhampiran penempatan penduduk menjadi punca.
“Apabila angin bertiup kencang, bulu di badan ulat terbabit tertanggal dan dibawa ke penempatan penduduk menyebabkan kulit mereka menjadi gatal dan ruam,” katanya dalam sidang media di Pusat Komuniti Rakyat Serdang di sini, kelmarin.
“Jumlah ulat itu kian berkurangan, namun kita minta pemilik tanah terbiar di situ menebang pokok menjadi habitat serangga berkenaan sebagai langkah pencegahan pembiakan,” katanya.
Teo turut meminta penduduk pernah dijangkiti membuat pemeriksaan susulan di Jalan SK 4/3 pada 7 Mei ini untuk memastikan mereka bebas penyakit kulit.
“Jabatan Kesihatan Daerah sekali lagi akan membuat pemeriksaan susulan terhadap penduduk di situ, jadi saya berharap mereka dapat hadir memberikan kerjasama,” katanya.
No comments:
Post a Comment