Monday, May 4, 2009

Penerima e-mel tamak, ingin untung segera

KUALA LUMPUR: Sikap tamak mendapatkan keuntungan segera faktor utama penerima e-mel terperangkap dengan tawaran perniagaan di Internet seterusnya kemungkinan terdedah dengan sindiket jenayah antarabangsa termasuk sindiket dadah.

Menurut aktivis dan penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim, sindiket dadah antarabangsa kerap menggunakan e-mel memerangkap mangsa dengan meminta nombor akaun bank sebagai kaedah ‘membersihkan’ wang mereka.

Beliau yang tidak terkejut dengan laporan Harian Metro Jumaat lalu mengenai wanita warga emas berusia 60-an menjadi mangsa sindiket penipuan wang antarabangsa apabila akaun bank miliknya diguna sebagai ‘transit’ berkata, tawaran wang upah hanya duduk di rumah menyebabkan mangsa gelap mata.

“Dalam era teknologi maklumat kini, e-mel disalahgunakan secara meluas termasuk sindiket jenayah global. Mangsa dipancing dengan kerja mudah seperti membantu memindahkan wang ke akaun tertentu dan diberi upah.

“Apa membimbangkan ialah dalam keseronokan dan rasa tamak untuk mendapat upah kerja mudah itu, mangsa tidak menyedari kemungkinan bersubahat dalam kegiatan jenayah berat,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...