Sunday, May 10, 2009

Cerita ibu paling tua di Britain

Walaupun sering sakit dan dicemuh, Susan Tollefsen, 58, tidak pernah menyesal melahirkan Freya, 13 bulan lalu.


DEMI Freya, Susan (kiri) tekad untuk hidup lebih lama lagi.



SUSAN mengandung pada usia 57 tahun.


SEMENJAK menjadi seorang ibu buat pertama kali pada usia 57, Susan Tollefsen hampir mati akibat pelbagai masalah kesihatan yang serius dan turut menghadapi cemuhan daripada ibu-ibu yang lebih muda.

Pengakuan menjadi seorang ibu buat kali pertama pada usia 57 telah didatangi perasaan menakutkan yang tidak diduga oleh Susan pada Ogos lepas iaitu seawal pukul 1 pagi.

Terjaga dan berasa sakit, dia tidak mampu untuk bangun dari katil, apatah lagi mengambil Freya, anak perempuannya yang berusia lima bulan.

Suaminya, Nick Mayer yang 11 tahun muda daripadanya, merupakan seorang pengurus gudang dan telah keluar bekerja pada masa kecemasan itu. Susan kemudiannya menelefon seorang jirannya untuk meminta pertolongan.

"Sakitnya hanya tuhan sahaja yang tahu. Saya hampir tidak boleh bergerak kerana ia sangat menyakitkan.

"Saya menelefon jiran dan memintanya mendapatkan sebuah ambulans.

"Jiran saya kemudian datang dan menjaga Freya manakala saya diusung keluar oleh kumpulan paramedik tersebut.

"Ia detik paling menakutkan dalam hidup saya," kata Susan yang merupakan ibu paling tua pertama melahirkan bayi di Britain.

Setelah tiba di Hospital Queen di Romford, Essex, para doktor mengesahkan Susan mengalami komplikasi ulser peptik dan memberitahunya sekiranya dia menunggu untuk lima minit lagi sebelum meminta bantuan, kemungkinan besar dia akan meninggal dunia.

"Saya berasa sangat sakit dan tidak dibenarkan berjumpa Freya selama 10 hari. Itu merupakan perkara paling sedih buat saya kerana Freya sangat memerlukan saya.

"Dalam masa yang singkat itulah saya bertanya diri sendiri seandainya telah membuat perkara yang betul dengan melahirkan seorang lagi bayi dalam usia sebegini.

"Namun tiada sesiapa boleh meramal sesuatu kejadian dan saya hanya perlu melihat Freya untuk meyakinkan diri bahawa saya tidak boleh kesal melahirkan bayi ini," katanya lagi.

Kini setelah pulih sepenuhnya, Susan berusaha meningkatkan lagi tahap kesihatannya.

"Saya tahu ada yang mengatakan saya mementingkan diri sendiri dengan memiliki seorang bayi pada usia 57 tahun, namun Freya perlu untuk lebih dicintai dan dijaga. Manusia kini juga mempunyai jangka hayat yang panjang, bukan?

"Tiada sebab untuk saya hidup sehingga umur 80 atau 90 tahun selain melihat dia dewasa," kata Susan yang akan berusia 59 tahun pada Oktober ini.

Sementara semua keluarga Susan dan Nick serta rakan-rakannya memberi sokongan padu ke atas usaha mereka untuk menjadi ibu bapa.

"Saya ingat lagi ketika pergi ke sebuah kelab ibu dan bayi, tidak lama selepas Freya dilahirkan. Ada yang berkata kepada saya, tahukah anda bahawa ketika dia berumur 12 tahun dan baru memasuki sekolah menengah, anda ketika itu sudah pun berumur 70?," beritahunya.

"Dan saya jawab, ya, saya tahu. Terima kasih banyak-banyak. Sebenarnya kata-katanya sangat menyakitkan saya," ujarnya.

Walaupun merasakan sifat keibuan itu adalah perkara terhebat dalam hidupnya, Susan turut mengakui untuk menjadi ibu bukanlah semudah yang disangka.

Seperti yang dijangkakan pada wanita seusianya, sejak berumur 51 tahun lagi, Susan telah mengalami masalah pekak di sebelah telinga, dan masalah tulang belakang yang serius akibat terjatuh semasa percutiannya pada tahun 1991.

Hanya sebulan sebelum dia dikejarkan ke hospital dengan satu letusan ulser pada tahun lepas yang terjadi akibat ubat penahan sakit untuk sakit belakang, dia terpaksa menjalani satu lagi pembedahan penggantian lutut yang juga satu lagi masalah yang tidak diduga.

"Saya terpaksa menghadapi tiga pembedahan besar dalam masa lima bulan, di mana kesemuanya sangat sukar.

"Jadi ia bukanlah tahun yang baik untuk saya tapi saya sangat bertuah kerana Freya merupakan seorang bayi yang gembira, sihat dan sempurna."

Tambahnya: "Freya kini sudah berusia 13 bulan, namun Nick dan saya masih lagi melihat dia bangun dari katil bayinya. Saya seperti tidak percaya bahawa dia milik kami."

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...