Peragut bukan hanya mahu wang malah nyawa mangsa.
KETIKA kanak-kanak seusia dengannya ingin sentiasa dibelai dan perlukan perhatian, masih makan bersuap dan lena di dalam pelukan insan yang bergelar ibu, Siti Najwa Mat Zani, 2, mungkin terpaksa melupakan semua ‘nikmat’ itu.
Dia kehilangan orang paling istimewa apabila ibunya, Saripah Mohd. Noor, 34, maut selepas beliau terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya sebelum dirempuh sebuah kenderaan.
Saripah terjatuh akibat diragut oleh dua ‘manusia iblis’ di Kampung Padang Raja, Jalan Melor-Ketereh, Kota Bharu, Kelantan, Rabu lalu.
Ditanya ke mana ibunya pergi, dia yang tidak mengerti apa-apa memberitahu: “Mama tidur, mama penat.”
Barangkali usianya masih mentah untuk memahami kepahitan yang ditanggung ayah, abang serta kakaknya, jauh sekali untuknya mengerti soal ajal maut.
Pada pagi Rabu lalu, ketika Siti Najwa dan kakaknya, Nurul Akmal Alisa, 6, masih lena, arwah Saripah keluar dari rumah ibunya di Kampung Kok Bedullah, Tumpat seawal 8.30 pagi dan menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya di Kampung Jel, Repek, Bachok.
Saripah yang mengandung tiga bulan anak keenam sudah dua minggu tidak menjenguk suaminya, Mat Zani Awang, 39, dan tiga lagi anak mereka, Nor Idayu, 13, Mohd. Saifullah, 11, dan Syawal Nabil, 8, kerana pulang berehat di rumah ibunya.
Berbekalkan wang RM5 yang dipinjam daripada adik iparnya, Saripah mengisi minyak motosikal RM3 dan bakinya ingin digunakan untuk membeli sedikit makanan.
Bagaimanapun, hasratnya itu tidak kesampaian apabila tiba di tempat kejadian, beg tangan lusuh yang berisi wang RM2 direntap oleh dua peragut bermotosikal menyebabkan beliau terjatuh.
Tragedi yang berlaku dalam sekelip mata itu telah mengubah nasib lima beradik yang masih terkapar-kapar menagih kasih sayang seorang ibu.
Bagi anak sulung arwah, Nor Idayu, beliau reda dengan segala ketentuan Ilahi walaupun masih terkejut dan bersedih.
Menurutnya, malam sebelum kejadian, ibunya ada menelefonnya tetapi mereka tidak bercakap lama.
“Mama beritahu esok dia nak balik, lepas itu dia pesan supaya saya rajin-rajin pergi sekolah dan mengulang kaji pelajaran,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Tumpat, Khamis lalu.
Tambahnya, beliau mungkin akan tinggal bersama ayahnya di rumah mereka di Bachok bersama dua adiknya sementara dua lagi adiknya, Siti Najwa dan Nurul Akmal Alisa akan ditinggalkan bersama neneknya, Hashimah Hussin buat sementara waktu.
Beliau yang merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Kandis, Bachok berjanji akan menjaga semua adiknya sebaik mungkin.
“Sama ada suka atau tidak saya kena pikul tanggungjawab ini. Mereka adik-adik saya. Sebagai kakak sulung saya kena tolong ayah jaga mereka semua.
“Setiap hari saya akan memasak, mengemas rumah dan membasuh pakaian. Saya sudah biasa dengan semua itu kerana sebelum ini saya selalu tolong mama,” ujarnya.
Jelasnya, Saifullah dan Syawal Nabil sudah memahami apa yang berlaku manakala Nurul Akmal Alisa baru hendak memahaminya.
“Adakalanya Nurul menangis kerana rindukan mama,” celah Nor Idayu.
Siti Najwa yang tidak memahami apa-apa kadangkala menangis mencari ibunya dan terpaksa dipujuk dengan memberitahu ibunya itu keluar bekerja.
“Satu hari nanti dia (Siti Najwa) akan tahu sendiri. Buat masa ini biarlah dia tidak mengetahuinya,” jelas Nor Idayu yang bercita-cita menjadi guru.
Ditanya sama ada beliau menyimpan dendam terhadap ‘pembunuh’ ibunya, Nor Idayu memberitahu: “Mereka (peragut) kejam. Mereka hancurkan harapan kami semua, mereka rampas kasih sayang ibu kami.
“Saya geram dan dendam tapi saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Saya hanya boleh berdoa semoga Allah membalasnya.”
Benci tengok lokasi tragedi
Kejadian ragut pada 12 Ramadan bersamaan 25 September 2007 tidak mungkin dapat dilupakan ahli keluarga Ramlah Mohamad. Pada tarikh itulah mereka kehilangan ibu buat selama-lamanya.
Allahyarham yang ketika itu berusia 51 tahun maut selepas motosikalnya terbabas ketika bergelut dengan peragut yang cuba merampas beg tangannya di Kampung Tok Jembal, Kuala Terengganu.
Dalam kejadian 10.50 pagi, mangsa yang ketika itu menunggang bersendirian menemui ajal hanya kira-kira 500 meter dari rumahnya selepas parah terhantuk pada tiang elektrik.
Bagi anak sulung mangsa, Syuzana Ismail, 34, kejadian itu bukan sahaja merenggut keseronokan Aidilfitri tahun tersebut malah menyebabkan kehidupan beliau dan lapan orang adiknya berubah.
“Emak seorang yang periang dan banyak bercakap. Kehilangannya amat dirasai. Rumah kami sekarang amat sunyi,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Malah, katanya, sambutan Aidilfitri dan majlis lain selepas tragedi itu juga dirasakan tidak semeriah dulu.
Bagi anak ketiga mangsa, Syukri, 30, setiap kali melalui lokasi tragedi, beliau teringat kembali kejadian tersebut kerana hanya beliau yang sempat membantu arwah pada hari kejadian.
Kata Syukri, beliau masih ingat dengan jelas keadaan ibunya yang terbaring lemah berdekatan tiang elektrik di situ semasa beliau memangku arwah dan meminta bantuan orang ramai.
“Sehingga kini saya masih benci melihat tempat itu. Tetapi saya lebih benci pada orang yang bertanggungjawab menyebabkan insiden itu,” katanya.
Jelasnya, dia tidak nampak kesan luka selain telinga kanan ibunya yang hampir terputus akibat kemalangan itu. Beliau tidak menyangka ibunya akan menemui ajal ketika menerima rawatan di Pusat Kesihatan Seberang Takir.
Bagaimanapun katanya, hasil pemeriksaan barulah dia diberitahu bahawa tiga tulang rusuk ibunya patah mungkin akibat terjatuh selepas ditolak peragut itu.
“Namun sehingga kini saya rasa ralat kerana tidak faham apa yang arwah katakan pada saya ketika dia sedang tenat kerana butir bicaranya sudah tidak jelas lagi,” katanya.
Menurut Syukri, beliau dan adik-beradiknya yang lain ingin melihat wajah individu yang terlibat itu biarpun hanya sekali untuk bertanya kenapa tergamak memperlakukan ibu mereka sedemikian rupa.
“Kalau diberi peluang, saya ingin sekali menghukum penjenayah terbabit,” katanya yang kecewa kerana pembunuh ibunya masih bebas.
Nurul Fatimah koma 20 hari
“Kak, hati-hati, jalan baik-baik.”
Nasihat itu diberikan mangsa ragut, Nurul Fatimah Ali, 19, kepada penulis semasa mahu keluar meninggalkan rumahnya di Kampung Pulau Ketam, Kuala Terengganu, Rabu lalu.
Gadis yang baru bangkit dari katil hospital selepas koma kira-kira 20 hari itu jelas masih terbayang tragedi pada 29 Mac lalu.
Menurut Nurul Fatimah, pada hari kejadian, beliau dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu. Ketika itu sudah pukul 5.30 petang.
Namun sewaktu sampai di hadapan sebuah stesen minyak di Jambatan Sultan Mahmud, sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki meragut beg tangan yang diletakkan Nurul Fatimah di dalam raga motosikalnya.
Beg tangan berwarna putih itu berisi wang sebanyak RM950 yang baru dipinjam Nurul Fatimah daripada majikannya.
Kerana geram, beliau mengejar motosikal dua peragut itu dengan melawan arus di atas jambatan tersebut. Malangnya beliau terlanggar dua buah kereta dari arah hadapan menyebabkannya cedera parah. Dua lelaki itu berjaya melarikan diri dan masih belum ditangkap sehingga hari ini.
Sepanjang berada di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Nurul Fatimah umpama berada di persimpangan antara hidup dan mati.
Ujarnya, pada hari kedua, beliau terpaksa diberi ubat tahan sakit dan ubat tidur kerana tidak mampu menahan kesakitan.
Kaki dan tangannya juga terpaksa diikat kerana dia banyak meronta-ronta akibat sakit kesan luka kemalangan.
“Saya pernah dengar mak tanya kenapa jadi begini? Saya sakit ke?,” ceritanya sebak.
Bagaimanapun anak bongsu daripada tujuh beradik ini mengakui beliau tidak mampu menjawab biarpun ketika itu beliau ingin benar menenteramkan ibunya.
“Kasihan mak, saya tahu dia sedih melihat keadaan saya,” katanya yang mengakui masih dapat melihat pelawat yang silih berganti tetapi beliau tidak mampu berkata-kata.
Nurul Fatimah bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu. Biarpun mengakui dirinya kini sudah sihat, namun pergerakannya masih terbatas dengan kesan-kesan parut akibat kemalangan itu.
Badannya susut dan beratnya kini cuma 36 kilogram. Menurut ahli keluarganya, kadangkala beliau terlupa apa yang berlaku.
Kerana trauma dengan kes ragut itu beliau kini sudah tidak berani lagi menunggang motosikal.
No comments:
Post a Comment