Sunday, May 10, 2009

Cari sebab pelajar ponteng


SOALAN:
Kaffarah Allah boleh terjadi, yang melibatkan kematian, sakit atau kefakiran akibat dosa yang dilakukan ketika seseorang itu hidup. Apa yang berlaku terhadap keluarga saya ialah, anak lelaki tunggal saya terus menerus menimbulkan masalah. Ponteng sekolah, hisap rokok, lari dari rumah, merempit hingga tengah malam.

Di rumah keperluan segala-galanya cukup, dia pernah lari dari rumah beberapa hari dan didapati bekerja di kelab snuker, pernah bekerja ditempat basuh kereta, padahal ketika itu dia masih belajar di tingkatan empat.

Saya bangga mendapat anak lelaki di samping lima anak perempuan, tetapi sekarang saya menyedari perilakunya terus menerus menjeruk hati menyebabkan pemikiran saya benar-benar terganggu, saya tidak berupaya memberi tumpuan kepada kerja seperti dahulu. Adakah ini kaffarah Allah kepada saya?

Shahril, Petaling Jaya


Jawapan:


Setiap masalah atau musibah yang menimpa seseorang itu tidak semestinya ada kaitan dengan kesilapan atau hasil perbuatan seseorang atau akibat daripada dosa-dosa yang dilakukan oleh seseorang biarpun terdapat hadis menyatakan bahawa apabila Allah mengasihi seseorang hamba yang melakukan dosa, Allah akan mempercepatkan balasannya ketika di dunia. Itulah yang dinamakan kaffarah.

Banyak punca berlakunya keadaan sedemikian yang berpunca daripada sebab yang mungkin boleh kita fikirkan menurut logik akal, ataupun langsung tidak dapat kita fikir. Hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui kenapa terjadinya demikian, termasuklah kerana cubaan dari-Nya semata-mata, yang tidak ada kaitan dengan dosa-dosa yang dilakukan.

Memang ada pelajar yang tidak mahu belajar, sama ada di rumah ataupun di sekolah. Pergi sekolah kerana disuruh atau dipaksa oleh ibu dan bapanya. Apabila ia bertemu dengan pelajar yang sama perangai dengannya mendorong untuk ponteng sekolah semakin mudah berlaku, seolah-olah ada galakan. Pelajar seperti inilah yang tidak masuk ke bilik darjah biarpun ibunya menghantarnya setiap pagi sehingga ke pintu sekolah.

Bagi kedua-dua ibu bapa yang inginkan anaknya menjadi manusia yang terpelajar dan berguna, juga orang yang menyaksikan pelajar-pelajar seperti ini merasa hampa dengan perilaku anak-anak tersebut. Pelajar seperti ini tidak sayangkan dirinya, pada hal segala-galanya telah disediakan termasuk ibunya yang menghantar setiap pagi hingga ke pintu pagar sekolah.

Terlalu sayang anak-anak seperti ini, yang tidak berupaya memikiri hal-hal yang sepatutnya dilakukan, mengambil peluang sebaik mungkin untuk menjadi manusia pandai demi masa depannya. Apa yang lebih menarik ialah untuk enjoy bersama-sama rakan yang sama pemikirannya.

Ada juga pelajar yang memang lemah dalam pelajaran, tidak berupaya memahami apa yang diajar oleh guru. Kerana itu ia merasakan bahawa belajar adalah sesuatu yang membosankan dan sia-sia. Hendak berhenti sekolah tidak berani kerana dipaksa oleh ibu bapa, untuk bekerja masih di bawah umur. Oleh itu dia merasakan sekolah itu tempat yang menjemukan dan membuang masa dalam hidupnya.

Kewujudan pelajar-pelajar seperti ini yang memerlukan seseorang guru itu kuat iman. Memerlukan ketabahan yang kental ketika hendak masuk kelas tersebut. Masalah kelembapan bukan menjadi masalah utama kepada guru, kerana keupayaan untuk belajar bagi setiap individu itu adalah sesuatu yang anugerah. Pencapaian atau taraf IQ seseorang itu berbeza, berdasarkan kepada beberapa faktor, termasuk faktor baka, biarpun tidak dinafikan ibu bapa yang pintar tidak semestinya melahirkan anak-anak yang mempunyai IQ yang tinggi, begitulah sebaliknya.

Pelajar-pelajar seperti ini menjadi masalah kepada guru apabila ia membuat kacau dalam kelas, bergaduh sesama rakan, merosakkan harta sekolah juga menconteng atau mencalar kereta guru, terutamanya guru yang garang juga guru disiplin.

Di sinilah terletaknya tanggungjawab seorang guru juga kedua-dua ibu bapa. Guru bukan hanya setakat mengajar, agar pelajar lulus dalam peperiksaan, juga untuk membentuk dan mendidik akhlak seberapa upaya.

Profesion guru terlalu mencabar, lebih-lebih lagi di zaman moden ini. Selain mengajar untuk lulus peperiksaan, guru juga bertanggungjawab secara langsung dan tidak langsung membentuk akhlak pelajarnya. Kerana itu guru perlu mempunyai rasa minat terhadap tugasnya dan prihatin terhadap apa yang berlaku. Guru juga perlu memahami tugas mengajar adalah merupakan amanah kepadanya.

Dalam surah Yusuf: 53 Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat olah Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.

Berdasarkan maksud ayat di atas kita dapat pengajaran bahawa tabiat semula jadi manusia itu lebih berkecenderungan untuk melakukan kejahatan berbanding untuk melakukan kebaikan. Kecuali mereka yang diberi rahmat Allah. Oleh kerana itu sekiranya manusia itu tidak dididik dengan baik, sama ada oleh ibu bapa atau guru, juga oleh masyarakat sekeliling maka kemungkinan seseorang itu terutamanya mereka dalam peringkat remaja akan lebih berkecenderungan terjebak dengan kegiatan yang tidak sihat.

Anak-anak yang terdidik di rumah oleh ibu bapa, juga guru-guru, tetapi ia terpengaruh oleh rakan sebaya untuk berseronok berkemungkinan akan ponteng sekolah walaupun ia dihantar hingga ke pintu pagar oleh ibunya.

Ia mempunyai akal yang waras dapat membezakan sesuatu yang baik atau buruk, tetapi ia tidak berupaya untuk menggunakannya, kerana lebih terpesona dengan keseronokan yang ada di depan matanya, apatah lagi dengan adanya dorongan lain seperti tayangan filem-filem dan sebagainya.

Selain daripada faktor di atas, ada satu makhluk yang dikenali sebagai "qarin" yang bererti sesuatu yang menyerupai sahabat (al-Munjid, 1956:625). Qarin adalah daripada golongan makhluk-makhluk halus yang sentiasa berdampingan dengan manusia, sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah seseorang itu meninggal dunia.

Kewujudan qarin di samping manusia ialah untuk menggoda, menipu dan memesongkan manusia daripada jalan yang benar. Dengan godaan itu ia boleh menyebabkan manusia menganggap sesuatu yang buruk itu baik dan yang baik itu buruk. dengan dorongannya seseorang itu akan sentiasa terdorong untuk melakukan kejahatan yang dirasakan menyeronokkan, melahirkan rasa rela dan kepuasan.

Qarin sentiasa berusaha menjerumuskan manusia dengan cara menggoda, merayu, memujuk dan menipu. Semua manusia mempunyai qarin, tidak kira ia seorang nabi, seorang alim ataupun orang biasa.

Dalam surah al-An'am: 112 firman Allah yang bermaksud: Dan demikianlah kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh daripada jenis manusia dan jin, sebahagian daripada mereka membisikkan kepada yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu.

Jelas bahawa yang dimaksudkan dengan syaitan itu ada dua, iaitu syaitan yang terdiri daripada makhluk-makhluk halus yang tidak nampak dan syaitan yang zahir iaitu syaitan manusia di mana kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang sama, iaitu untuk menyesatkan atau merosakkan orang.

Teman-teman sekolah mempengaruhi teman lain untuk ponteng sekolah juga termasuk dalam golongan syaitan. Sama seperti mereka yang mengendalikan tempat-tempat hiburan, yang jelas membiarkan pelajar bermain judi atau snoker di kedainya, apatah lagi sekira ia tahu yang masuk itu adalah pelajar, biarpun mereka tidak berpakaian sekolah.

Ketika di rumah, ibu adalah segala-galanya kerana ibu orang yang selalu berdamping dengannya. Dan peranan ibu ini diambil-alih oleh guru ketika di sekolah, walaupun demikian dalam banyak suasana persekitaran, iaitu yang terdiri daripada kawan-kawan juga pengaruh sekeliling, termasuk iklan-iklan di suratkhabar, di televisyen, di tepi jalan raya, cd, video dan segala-galanya lebih banyak dan mudah mempengaruhi kanak-kanak yang sedang meningkat dewasa berbanding dengan guru-guru biarpun mereka bermati-matian mengajar dan mendidik anak-anak.

Guru lebih cenderung dianggap sebagai sumber mendapat ilmu, yang dalam keadaan tertentu tidak difahami oleh sesetengah pelajar, lebih-lebih lagi di kalangan pelajar yang tidak memahami sepenuhnya bahasa yang digunakan oleh guru itu. Kerana itu guru tidak menjadi role model atau idola yang dikagumi.

Seperkara lagi, berbanding dengan kecenderungan melakukan kebaikan, tabiat semula jadi manusia lebih cenderung melakukan kejahatan, kecuali mereka yang beriman kepada Allah swt.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...