Sunday, May 10, 2009

Kes pertama di Jepun

TOKYO 9 Mei - Seorang guru dan dua orang pelajar yang pulang dari Amerika Utara didapati positif influenza A (H1N1) dan merupakan kes pertama virus itu di Jepun, sekali gus menjadi negara Asia ketiga mempunyai kes tersebut.

Ketiga-tiga lelaki itu telah dikuarantin oleh pihak berkuasa Jepun, selepas mengikuti lawatan sekolah tinggi ke Kanada

Pihak berkuasa mengenakan perintah kuarantin terhadap ketiga-tiga lelaki itu, termasuk 49 orang yang turut sama menaiki penerbangan yang tiba semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo dari Detroit, Amerika Syarikat (AS).

Enam dari 49 orang itu kemudian dibawa ke hospital selepas jatuh sakit, menurut pegawai kementerian kesihatan, manakala media tempatan melaporkan mereka mempunyai simpton virus H1N1.

Perdana Menteri Jepun, Taro Aso berkata, tiga kes itu tidak dianggap penularan wabak itu di Jepun kerana mereka berjaya ditahan di lapangan terbang.

"Saya mahu rakyat bertenang tetapi terus berjaga-jaga dan memberi perhatian kepada maklumat yang diberikan oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan." katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Jepun, Yoichi Masuzoe berkata, kerajaan sedang berusaha untuk menghubungi 391 penumpang dan 21 krew yang menyertai penerbangan Northwest Airlines dan tiba 4.30 petang (4.30 petang waktu Malaysia) bagi menjalani ujian pemeriksaan influenza A.

"Semua penumpang yang dalam penerbangan itu berkemungkinan telah dijangkiti selesema.

"Kita mahu mengesan kesemua mereka menjelang malam ini" kata Masuzoe. - AFP


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...