TIDAK dinafikan, kesedaran terhadap kesihatan fizikal semakin meningkat di kalangan warga emas. Malah, di mana-mana saja, warga emas dilihat semakin menitikberatkan aspek pemakanan serta melakukan senaman secara konsisten bagi menghindari penyakit seperti jantung, darah tinggi dan kencing manis.
Namun tidak begitu apabila bercakap tentang kesihatan mental.
Menurut Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Dr. Ang Kim Teng, kegagalan menyiapkan benteng pertahanan mental sebelum bersara adalah antara faktor utama warga emas kerapkali mengalami tekanan dan terdedah kepada kemurungan.
“Kesilapan utama ialah selepas bersara baru hendak merancang. Malah menerusi pemerhatian dan kajian saya, ramai yang hanya mengambil berat mengenai kesihatan fizikal berbanding mental,” katanya.
Ujar Kim Teng, sudah tiba masanya kesihatan mental bagi mereka yang menuju ke usia emas ini dititikberatkan. Jelasnya, perkara ini bukan sukar untuk dilakukan walaupun sudah mencecah umur 70 tahun.
Jelasnya lagi, kesihatan mental yang tidak dijaga akan membawa kepada gangguan emosi yang parah berikutan usia mereka yang semakin lanjut.
“Dengan menanam pemikiran positif, secara tidak langsung, warga emas ini menguatkan sistem imunisasi, menjadi lebih gembira dan kuat dalam menghadapi hari tua,” ujarnya pada pelancaran program Golden Third Age (G3A).
Bukan sekadar itu, kurang kesedaran mengenai kekuatan kuasa emosi turut menjadi punca mengapa ramai warga emas di Malaysia mudah menghadapi tekanan serta berasa kesunyian.
Kim Teng juga menambah, jangan terkejut sekiranya idea membunuh diri juga wujud dalam pemikiran warga emas akibat gangguan emosi yang tidak dirawat dari awal.
“Dengan jumlah warga emas yang mencecah dua juta orang, jelas sekali Malaysia sedang menuju ke arah penuaan penduduk yang dijangka melebihi 10 peratus menjelang tahun 2025.
“Justeru, tanpa kekuatan emosi dan fizikal, nescaya kita tidak dapat mengharungi usia emas dengan sempurna,” tegasnya yang berpendapat tiada kerja yang khusus, anak-anak yang telah besar serta berpindah ke persekitaran baru juga menjadi sebahagian faktor kepada kemurungan dan gangguan emosi lain yang dihadapi oleh golongan ini.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0419&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm
No comments:
Post a Comment