Sunday, May 10, 2009

'Saya jadi bingung' - Shukery

Kanser pankreas kerap didiagnosis ketika penyakit sudah berada di tahap kritikal dan sel kanser sudah merebak ke bahagian lain.




“BILA doktor beritahu saya kena kanser, rasa macam ada batu besar hempap kepala saya. Macam-macam perasaan bercampur aduk dalam fikiran saya – risau, takut, sakit.

“Semua bercampur aduk, lebih-lebih lagi apabila doktor menjelaskan kanser tersebut sudah di tahap serius.

“Sebelum ini, saya cuma dengar cerita orang kena kanser, bila terkena pada diri saya sendiri, saya jadi bingung,” ujar pelakon Shukery Hashim yang disahkan mengidap kanser pankreas tahap keempat lewat bulan lalu.

Berusia 55 tahun, Shukery pada awalnya tidak ambil pusing rasa senak yang menyerangnya dan menganggap ia mungkin angin biasa.

Namun, apabila rasa senak sering berulang, ditambah pula dengan pedih, panas dan tidak selesa di bahagian atas abdomen dan belakang, atas nasihat rakan-rakan, dia membuat pemeriksaan di klinik swasta dan doktor mengesyaki dia menghidap batu karang.

“Mula-mula buat pemeriksaan di klinik, doktor kata mungkin batu karang, tetapi doktor suruh saya rujuk kepada doktor pakar di Hospital Selayang.

“Di klinik pakar, saya menjalani pemeriksaan yang lebih khusus dan apabila doktor buat CT scan, doktor memberitahu pankreas saya sudah hitam dan membengkak.

“Saya ditahan di wad dan selepas menjalani beberapa kali pemeriksaan, doktor memberitahu saya mengidap kanser pankreas,” katanya ketika dihubungi Jurnal minggu ini.

Menurut Shukery, semasa dirawat di hospital, satu pembedahan telah dilakukan ke atasnya namun doktor tidak mampu berbuat apa-apa kerana sel kanser sudah merebak ke organ dalaman lain.

“Doktor hanya buka dan tutup saja. Mereka tidak boleh buat apa-apa sebab sel kanser dah merebak ke hempedu dan hati,” katanya.


SEL kanser pankreas sangat mudah merebak ke organ lain seperti hempedu dan hati.



DR. SHAHROL AZMI





Ketika diasak pertanyaan bagaimana beliau boleh mendapat penyakit tersebut, Shukery sendiri tidak pasti apa punca kanser yang dihidapinya itu.

“Doktor pun belum dapat mengenal pasti punca, mungkin faktor pemakanan tetapi ia belum dapat dipastikan lagi,” katanya.

Akibat kanser itu juga, beliau kurang selera makan dan berat badannya turun mendadak sejak dua bulan lalu.

“Saya hilang 14 kilogram dalam masa dua bulan. Doktor nasihatkan saya supaya banyak berehat dan kembalikan selera makan supaya ada tenaga untuk lawan penyakit ini, katanya.

Dia yang sebelum ini pernah mengalami masalah jantung tetap mengamalkan cara hidup sihat dengan bersenam apabila berkelapangan dan tidak merokok.

Shukery yang kini sedang berehat di rumahnya memberitahu beliau akan memulakan rawatan kemoterapi pada minggu hadapan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Buat masa ini saya masih berbincang dengan doktor mengenai rawatan susulan di PPUKM. Saya juga tidak menolak rawatan alternatif untuk berubat. Asal ada peluang dan jalan untuk menyembuhkan penyakit ini, insya-Allah saya akan cuba,” katanya.

Mengakhiri perbualan bersama Jurnal pagi itu, Shukery sempat merakamkan penghargaan di atas keprihatinan dan sokongan daripada keluarga dan semua kenalannya.

“Saya amat berterima kasih atas bantuan dan sokongan yang dihulurkan. Saya juga tidak putus berdoa agar saya terus diberi kekuatan dan kecekalan untuk menghadapi kesukaran dan boleh sihat seperti dulu,” ujarnya.

Membunuh secara senyap

Menurut Pakar Bedah Am, Hospital Pakar Al-Islam, Dr. Shahrol Azmi Mohd. Yasin, Shukery Hashim menghidap kanser pankreas yang tipikal di mana setiap penghidap mengalami situasi yang sama dari segi simptom dan lewat dikenal pasti.

Kanser pankreas merupakan ‘pembunuh senyap’ yang mana ia tidak menimbulkan simptom atau tanda yang jelas pada peringkat awal.

“Disebabkan itu, penyakit ini kerap didiagnosis ketika penyakit sudah berada di tahap kritikal dan sel kanser sudah merebak ke bahagian lain,” katanya.

Menurut Dr. Shahrol, kebanyakan punca sebenar kanser tidak diketahui tetapi faktor-faktor seperti merokok, diabetes, anemia dan pankreatitis kronik mempunyai kaitan rapat yang boleh mengundang risiko kanser ini.

Tambahnya lagi, kekeliruan terhadap simptom pada peringkat awal juga melewatkan proses pengesanan kanser dan mengakibatkan ia tidak dapat dirawat dan dibuang pada peringkat awal.

Sekiranya pesakit mendapat jaundis, ia adalah petanda yang membolehkan kanser dirawat pada tahap awal. Mungkin sel kanser masih kecil dan belum merebak.

Jelas beliau lagi, kanser jenis ini merupakan salah satu kanser yang agresif dan insiden kanser ini semakin bertambah di kebanyakan negara. Bagaimanapun di Malaysia, belum ada statistik yang lengkap mengenai penyakit ini.

Kanser pankreas juga sangat jarang berlaku. Dalam setahun, mungkin ada satu dua kes, itu pun kes yang sudah kritikal.

Kanser ini kebiasaannya menyerang lelaki dan disebabkan ia hanya boleh dikenal pasti pada peringkat serius.

“Ia kerap terjadi pada pesakit lelaki berusia 45 tahun ke atas. Manakala lebih 80 peratus kes berlaku melibatkan pesakit dalam lingkungan umur 60 hingga 80 tahun,” katanya.

Tidak dapat dibuang dengan pembedahan

Menurut Dr. Shahrol, pengesanan peringkat awal amat membantu pesakit kerana ketumbuhan yang kebiasaannya hadir di bahagian kepala pankreas masih boleh dibuang.

Namun, apabila ketumbuhan itu menutup saluran hempedu masalah lain pula yang akan timbul sama ada pesakit akan mendapat kekuningan yang tidak menyakitkan ataupun ketumbuhan itu membentuk sel kanser.

“Sekiranya sel kanser masih kecil dan belum merebak ke organ lain, pembedahan boleh dilakukan untuk membuang sel tersebut.

“Tetapi bagi kes Shukery, pembedahan yang dilakukan tidak dapat membuang sel kanser kerana ia sudah merebak di hempedu dan hati.

“Apa yang boleh dilakukan dalam pembedahan itu hanyalah untuk merencatkan sel kanser supaya ia tidak terus merebak ke bahagian lain.

“Disebabkan lewat didiagnosis, kebanyakan pesakit hanya mendapat rawatan untuk mengurangkan simptom sahaja,” ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...