Friday, July 24, 2009

‘Contohi sikap Kartika’

IPOH: “Contohilah sikap Kartika yang berani mengaku kesilapan diri walaupun pengakuannya itu dilihat seolah-olah memalukan diri sendiri,” kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) mengulas keputusan model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, yang mahu mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan terhadapnya atas kesalahan meminum arak.

Beliau berkata, keputusan Kartika itu tepat kerana ia berdasarkan undang-undang syariah yang ditetapkan.

“Keputusan dijatuhkan kepadanya (Kartika) mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987). Oleh itu, tiada pihak yang berhak untuk mempertikaikannya.


“Saya sedar ada sesetengah orang mempertikaikan hukuman tu kerana mereka beranggapan hukuman itu terlalu ‘keras’, namun mereka perlu tahu ia membabitkan soal agama,” katanya.

Kartika dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada Isnin lalu kerana didapati minum arak di sebuah hotel di Cherating, Kuantan, pada jam 11.40 malam 11 Julai tahun lalu.

Akhbar ini semalam melaporkan pengakuan Kartika yang mahu hukuman dikenakan terhadapnya dijalankan secepat mungkin kerana rasa bersalah terhadap diri sendiri dan keluarga.

Harussani berkata, tindakan Kartika perlu dicontohi mereka yang masih lagi ‘bersahabat’ dengan minuman haram itu dan segera bertaubat selagi pintu keampunan Allah s.w.t masih terbuka.

“Golongan muda yang masih bergelumang dosa dinasihatkan menginsafi kekhilafan diri dan kembali ke jalan-Nya kerana masih belum terlambat memohon keampunan daripada-Nya,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...