Friday, July 24, 2009

OCPD menyamar kesan telefon along



MENYAMAR...Abdul Jalil cuba menghubungi along, semalam.
MENYAMAR...Abdul Jalil cuba menghubungi along, semalam.

AMPANG JAYA: Pinjaman boleh diperoleh dalam tempoh kurang sejam dikesan modus operandi terbaru kegiatan along bagi menjerat mangsanya di daerah ini.

Modus operandi itu dikesan Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan yang mengetuai operasi menanggalkan iklan along di sekitar Ampang semalam dan pada masa sama menghubungi nombor tertera pada iklan itu.

Abdul Jalil yang menyamar pihak terdesak mahu mendapatkan pinjaman mendapati individu dihubunginya dipercayai along itu memancing peminjam kononnya proses pinjaman sangat mudah.


“Along terbabit pandai memujuk untuk meminjam daripada mereka.

“Selain menanggalkan iklan along, polis juga akan menghubungi nombor telefon yang tertera bagi mengesan modus operandi terbaru mereka sebelum tindakan lanjut diambil.

“Kami juga sudah menghantar nombor telefon along kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Setakat ini, SKMM sudah membatalkan 25 nombor telefon along di Ampang Jaya.

“Kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diperhebatkan supaya membatalkan lesen premis yang memberi kebenaran iklan along di premis mereka,”
katanya.

Operasi menanggalkan pelekat dan iklan kegiatan along itu disertai lapan pegawai bersama 20 anggota polis Ampang Jaya serta 12 pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Harian Metro kelmarin melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta semua ketua polis daerah supaya menghubungi nombor telefon pada iklan ditampal di tiang elektrik atau dinding yang menawarkan pinjaman mudah tanpa perlu penjamin yang dianggap mampu menyelesaikan masalah along.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...