am@hmetro.com.my
KANGAR: Kelonggaran syarat berpoligami atau berkahwin lebih daripada satu tanpa perlu merujuk kepada isteri pertama, mengundang kehadiran ramai pasangan luar berbanding penduduk tempatan untuk ‘membina masjid’ baru di negeri ini.
Bagaimanapun, kerajaan negeri akan meneruskan pendekatan poligami yang diamalkan sekarang dan tidak bercadang membuat sebarang pindaan berhubung undang-undang berkaitannya yang sudah dikuatkuasakan sejak beberapa tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah negeri, Jafperi Othman, berkata mengikut rekod Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips), sebanyak 242 permohonan poligami sudah didaftarkan sepanjang tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 21 kes pendaftaran berpoligami sepanjang 2008 membabitkan rakyat tempatan,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Tambun Tulang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis di sini, semalam.
Beliau berkata, masalah poligami akan dirujuk semula kepada Majlis Mesyuarat Fatwa Negeri Perlis bagi mendapatkan penjelasan hukum, sekali gus menyelesaikan masalah urusan berhubung isu terbabit di Perlis.
Katanya, Mahkamah Syariah akan memutuskan kes berdasarkan keterangan yang ada di hadapan mahkamah menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada dan sebarang keputusan dibuat dalam kes tidak terikat dengan fatwa dikeluarkan mufti.
“Setakat ini tiada sebarang cadangan untuk membuat pindaan undang-undang berkaitan poligami. Amalan poligami yang tidak adil dan bertanggungjawab menjadi punca penceraian,” katanya.
Jafperi berkata, sejumlah 28 kes tuntutan fasakh atau pembubaran perkahwinan membabitkan alasan suami tidak berlaku adil di dalam poligami direkodkan tahun lalu manakala tiga kes pada 2009.
“Selain itu, sejumlah 58 aduan diterima pada 2008 berhubung tindakan suami yang tidak berlaku adil dalam poligami,” katanya.
Beliau berkata, kes perceraian yang tidak membabitkan orang tempatan akan dibuat di negeri di mana suami isteri berada atau bermastautin.
Sementara itu, Shahidan ketika sesi perbahasan meminta Jabatan Kehakiman Syariah Perlis menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang poligami yang ditetapkan sebelum ini, sebagai langkah mengelak rakyat daripada terdedah kepada dosa terutama zina dan khalwat.
Bagi urusan permohonan cerai dan fasakh, beliau berkata, ia perlu dipercepatkan, tanpa dipanjangkan atau dilengahkan perbicaraan dan keputusan, sekali gus memastikan golongan wanita tidak dibebani penantian dan teraniaya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090724004546/Article/index_html
No comments:
Post a Comment