Friday, July 24, 2009

Yasmin stabil selepas dibedah


PETUGAS Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya bertungkus lumus menyelamatkan Yasmin petang semalam. Gambar kecil atas, Sri Pentas TV3 tempat Yasmin diserang angin ahmar ketika terlibat dalam satu mesyuarat.


PETALING JAYA - Pengarah filem terkenal, Yasmin Ahmad, 51, yang tidak sedarkan diri kini stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Pakar Damansara di sini semalam.

Pembedahan selama lebih sejam yang bermula pada pukul 6 petang itu berjaya mengeluarkan darah beku dari kepalanya.

Sebelum itu, pengarah filem Sepet itu dikejarkan ke hospital tersebut selepas tidak sedarkan diri semasa bermesyuarat bersama penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, suaminya Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa dan Ketua Pegawai Operasi Primeworks Studio, Farisha Pawanteh di Sri Pentas, TV3 di sini.

Adik iparnya, Datuk Dr. Zakaria Zahari berkata, Yasmin diserang angin ahmar dan sudah dibedah. Beliau kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

"Buat masa ini, jantung Yasmin disokong ubat-ubatan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Bagaimanapun, tinjauan Kosmo! lewat malam tadi mendapati Yasmin tidak sedarkan diri dan bergantung sepenuhnya kepada mesin sokongan hayat.

Terdahulu, ketika bermesyuarat pengarah itu yang juga popular menerusi filem Gubra mengadu tidak sihat dan ingin berehat seketika. Beliau kemudian duduk dan menekup mukanya di atas meja mesyuarat di TV3.

Selepas menyedari Yasmin tidak memberi sebarang respons, Siti Nurhaliza dan suaminya, Khalid dan enam lagi ahli mesyuarat lain bergegas membantu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0724&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...