IPOH: “Saya tak pernah kenal erti kebahagiaan sejak berkahwin dengannya lebih 18 tahun lalu. Sudah kering air mata mengenangkan nasib diri kerana syurga rumah tangga diimpikan pada awal perkahwinan bertukar menjadi igauan ngeri,” kata seorang suri rumah, Salina, 39, yang mendakwa didera suaminya secara fizikal dan mental sejak 18 tahun lalu.
Ibu kepada tiga anak perempuan berusia lima, 16 dan 18 tahun itu akhirnya nekad membuka mulut kelmarin selepas tidak sanggup lagi menanggung sengsara diperlakukan seperti ‘beg pasir’ oleh suaminya yang berusia 40 tahun.
“Saya dilayan seperti hamba oleh suami. Malah, nasib saya juga seperti digantung tidak bertali sejak lima tahun lalu apabila terpaksa mengerah kudrat dan menebalkan muka bekerja di kilang dan kedai makan bagi menyara perbelanjaan harian dan anak-anak kerana suami tidak lagi memberi nafkah.
“Sikap buruknya tak berubah. Dia hanya pulang ke rumah seminggu sekali dan setiap kali pulang, meminta wang daripada saya. “Jika tidak diberi, dia pukul saya malah dia juga pernah beberapa kali menghalau saya keluar dari rumah tapi disebabkan tiada tempat dituju dan memikirkan nasib anak, saya pulang semula,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Pengkalan, dekat sini, kelmarin.
Salina berkata, dalam kejadian terbaru minggu lalu, suaminya bertindak ganas memukul kepalanya dengan kerusi sehingga dia terpaksa melarikan diri ke rumah anak sulung tidak jauh dari rumahnya sebelum membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh.
Salina yang cedera di kepala dan menerima rawatan pesakit luar di sebuah hospital berkata, sebelum ini dia tidak berani melaporkan kejadian dia didera kepada polis kerana takutkan suami yang juga bekas askar tetapi dibuang kerja atas kesalahan disiplin pada 2002.
“Tidak lama selepas berkahwin dengan saya, suami bernikah seorang lagi tapi isteri keduanya diceraikan tidak lama kemudian kerana perkahwinannya tidak mendapat persetujuan saya. “Dia kemudian berkahwin sekali lagi tapi bercerai kerana isteri ketiganya kerana menerima nasib sama seperti saya tetapi dia berkahwin kali keempat pada 2008,” katanya.
“Saya pernah beberapa kali minta cerai tapi dia enggan melepaskan saya. Saya berharap ada pihak sudi membantu menguruskan proses perceraian saya dan kini saya hanya bergantung hidup atas bantuan bulanan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/18tahundibelasahsuami/Article/index_html
No comments:
Post a Comment