Wednesday, October 27, 2010

Sorok dadah dalam bingkai gambar


ANGGOTA polis menunjukkan dua daripada empat bingkai gambar mengandungi dadah yang dibawa wanita Georgia pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN - Kegembiraan seorang wanita Georgia yang berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) walaupun membawa lima kilogram syabu bernilai RM1.3 juta tidak berpanjangan apabila dia ditahan sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) di sini kelmarin.

Wanita berusia 37 tahun tersebut ditahan pada pukul 12 tengah malam bersama 28 bungkusan dadah tersebut yang disembunyikan di dalam empat bingkai gambar. Bingkai itu pula dibawa di dalam sebuah beg hitam berjalur merah.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, wanita tersebut ditahan kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika dalam perjalanan ke kaunter limousin di kawasan ketibaan LTABL oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri.

Katanya, sebaik membuat pemeriksaan pada bagasi itu, polis menemui 28 bungkusan syabu disembunyikan di dalam empat bingkai gambar bernilai RM1.3 juta.

"Siasatan mendapati suspek telah berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di KLIA sebelum ditahan di situ.

"Kita masih menyiasat sama ada suspek menjadi keldai dadah atau membawa bahan khayal secara langsung," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri semalam.

Tambahnya, statistik menunjukkan polis telah menahan seramai 128 warga asing kerana mengedar dadah termasuk dari China, India, Uganda dan Georgia sepanjang tahun ini.

Sementara itu di Kota Kinabalu, Sabah, polis turut menahan seorang lagi wanita Georgia dan merampas sebanyak 5.5 kilogram syabu bernilai RM1.76 juta yang disembunyikan di dalam empat bingkai gambar dalam serbuan pukul 12.50 tengah malam di sebuah hotel semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah, Supritendan Abd. Rahim Dolmat berkata, wanita berusia 26 tahun itu ditahan hasil soal siasat polis Pulau Pinang yang terlebih dahulu menahan rakannya di LTABL.

"Polis Pulau Pinang kemudian telah menghubungi kami untuk menyerbu sebuah hotel di sini sebelum kami menahan wanita itu dan merampas dadah berkenaan," katanya.

Kedua-dua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1027&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...