Wednesday, October 27, 2010

Laporan ETP: Mengukuhkan sektor pendidikan swasta

Okt 25, 10 5:25pm

Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pendidikan menumpukan kepada pengukuhan Sektor Pendidikan Swasta (PES) dengan meningkatkan penggunaan dan pelaburan serta pengembangan eksport pendidikan.

Menurut Laporan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dikeluarkan PEMANDU, kerajaan membayangkan kepada penjenamaan semula Malaysia - daripada sebuah tempat pendidikan sementara kepada sebuah pusat pendidikan terpilih yang besar dan penting dan rangkaian pendidikan global.

"Kami membayangkan pada tahun 2020, bidang pendidikan akan menjadi sebuah perniagaan besar yang mampu memberi impak ketara kepada Pendapatan Negara Kasar(PNK), tersebar luas dan mampan, sambil meningkatkan standard dan meluaskan askes kepada pendidikan. Maka, dengan itu barulah Malaysia mampu untuk membangunkan sekumpulan insan berbakat bagi sebuah negara maju," demikian menurut laporan itu, yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur, hari ini.

NKEA Pendidikan disasarkan untuk meningkatkan jumlah sumbangan kepada PNK sebanyak RM60.7 bilion menjelang 2020 berbanding RM27.1 bilion pada 2009.

Oleh kerana pembangunan sektor awam dijangka terhad, sasaran ini memerlukan PES tumbuh enam kali ganda menjelang 2020 dan ini memerlukan pembiayaan sejumlah RM20 bilion dalam tempoh 10 tahun, dengan hanya enam peratus merupakan pembiayaan awam baru.

Dengan pencapaian ini, sebanyak 535,000 pekerjaan tambahan akan diwujudkan di mana kebanyakannya dalam dalam bidang profesional.

Pendaftaran pelajar asing akan ditingkatkan sebanyak tiga kali ganda daripada 70,000 pada masa ini kepada 200,000 menjelang 2020.

"Selain daripada impak PNK, kami (kerajaan) menggambarkan sektor pendidikan akan memberi impak ketara terhadap pembangunan sosioekonomi negara, menerusi pelbagai titik sentuh pendidikan.

"Dengan itu, kami (kerajaan) memperlihatkan sektor pendidikan swasta akan memainkan peranan pelengkap kepada sektor awam dalam melaksanakan keberhasilan pendidikan dan objektif kerajaan seperti digariskan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan," menurut laporan itu.

Untuk mencapai sasaran ini, empat segmen pendidikan diberi keutamaan berdasarkan saiz pasaran dan potensi pembangunan masa hadapan -- pendidikan tertiari (kedua-dua penuntut tempatan dan asing); pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT); pendidikan asas (rendah dan menengah) dan penjagaan awal kanak-kanak dan pendidikan awal (ECCE).

Sejumlah 13 Projek Permulaan (EPP) dibangunkan meliputi empat segmen ini berdasarkan kepada impak PNK dan potensi untuk memangkinkan lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan.

EPP ini dijangka dapat meningkatkan standard pendidikan secara menyeluruh (ditakrifkan dalam konteks asas, kualiti dan ekuiti yang lebih baik), berupaya mencapai transformasi besar berbanding perubahan penambahan yang kecil, dan mencapai keberhasilan ketara dalam tempoh 10 tahun.

EPP berkenaan terbahagi kepada tiga tema. Tema yang pertama adalah penskalaan ke atas dengan cepat; kedua inisiatif penumpuan dan pengkhususan serta ketiga inisiatif menjana permintaan.

Penskalaan ke atas dengan cepat untuk membangunkan rangkaian sekolah swasta berkualiti tinggi atau meningkatkan penglibatan sektor swasta dalam pasaran tidak bersepadu dan belum matang meliputi pusat penjagaan awal kanak-kanak dan pusat pendidikan awal; penambahbaikan penjagaan awal kanak-kanak dan latihan pendidikan; sekolah antarabangsa; mengembangkan latihan guru swasta; penyediaan latihan kemahiran swasta dan mengembangkan pengajian jarak jauh antarabangsa.

Tema kedua adalah inisiatif penumpuan dan pengkhususan yang meliputi pembangunan kelompok disiplin pendidikan kewangan dan perniagaan Islam; pendidikan sains kesihatan; kejuruteraan lanjutan, sains dan inovasi; hospitaliti dan pelancongan dan melancarkan Educity@Iskandar.

"Satu daripada cabaran kita adalah jurang kualiti yang besar, khususnya di peringkat tertiari di mana perkaitan industri adalah penting. Contoh amalan terbaik daripada negara lain yang berada dalam keadaan setara menunjukkan bahawa langkah ke hadapan terletak dalam pembangunan rangkaian bersepadu institusi merangkumi satu atau lebih fasa dalam rantaian nilai pendidikan," menurut laporan itu.

Tema ketiga meliputi sokongan penjenamaan Malaysia sebagai sebuah pusat pendidikan antarabangsa dan memperkenalkan kerjasama awam swasta dalam pendidikan asas.

"Inisiatif ini bertujuan meningkatkan rasa kesanggupan individu untuk membayar bagi kursus berkualiti yang ditawarkan, dan untuk mengeksport pendidikan dengan membangunkan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau," menurut laporan itu.

Secara terkumpul, EPP ini akan menyumbang sebanyak RM19 bilion dalam peningkatan PNK terhadap sumbangan sektor ini. Digabungkan dengan anggaran RM14.3 bilion PNK dalam peluang perniagaan dan pertumbuhan garis dasar, sektor ini akan mempunyai sasaran keseluruhan RM60.7 bilion dalam PNK.

Ringkasnya, sasaran kritikal dan peristiwa penting dalam tempoh enam hingga 12 bulan NKEA Pendidikan adalah menandatangani 10 perjanjian timbal balik untuk menubuhkan pusat latihan ECCE; mewujudkan pertambahan 1,000 tempat pengajian di sekolah antarabangsa; menubuhkan uiversiti pintu masuk pendidikan jarak jauh dengan pengambilan pelajar kumpulan pertama.

Menubuhkan kelompok disiplin dengan pengambilan pelajar kumpulan pertama untuk pendidikan kewangan dan perniagaan Islam; perkhidmatan kesihatan; kejuruteraan lanjutan serta hospitaliti dan pelancongan; membuka dua buah institusi baru di Educity@Iskandar dan menubuhkan lima buah pejabat baru antarabangsa untuk pemasaran antarabangsa.

- Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...