KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan melaksanakan langkah-langkah untuk menghadkan tahap hutang isi rumah bertujuan memastikan ia tidak menjadi faktor menjejaskan kestabilan ekonomi, kata Gabenor Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini.
"Meskipun ini bukanlah sesuatu yang membimbangkan, namun ia adalah sesuatu yang mendorong kita melaksanakan langkah-langkah bagi memastikan ia tidak menjadi faktor yang menjejaskan kestabilan ekonomi kita kerana permintaan penggunaan kini menjadi pemacu pertumbuhan yang penting," katanya kepada pemberita di luar acara Forum Kewangan Islam Global (GIFF) di sini, Selasa.
"Tetapi pada masa yang sama kita mahu ia meningkat secara berhemah dan tidak menjadi risiko atau merosakkan kemampanan pertumbuhan kita," katanya.
Zeti berkata program kesedaran celek kewangan akan menjadi satu daripada perkara yang akan dikaji memandangkan kurangnya pengetahuan tentang kewangan terutamanya di kalangan anak muda, yang dianggap sebagai satu daripada faktor yang menyumbang kepada meningkatnya hutang isi rumah.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tentang kemungkinan hutang isi rumah meningkat dan langkah-langkah yang boleh diambil oleh bank pusat.
Minggu lepas, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menimbulkan kebimbangan tentang tahap hutang isi rumah yang semakin meningkat iaitu sebanyak 77 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Dalam laporan tahunan bank pusat itu tahun lepas, hutang isi rumah dilaporkan meningkat kepada 76.6 peratus bagi tahun berkenaan, iaitu yang tertinggi di Asia, daripada 63.9 peratus KDNK pada 2008.
Zeti berkata hutang isi rumah kini diuruskan bersama dengan beberapa institusi untuk memastikan ia tidak melebihi paras berhemah.
Mengenai tekanan inflasi, Zeti berkata meskipun ekonomi domestik mengalami permintaan kukuh, namun Bank Negara tidak menjangkakan sebarang tahap inflasi. Bagaimanapun, bank pusat itu sudah bersedia dengan langkah-langkah dan fleksibiliti untuk melaksanakan langkah-langkah bagi membendung sebarang pergerakan yang membayangkan berlakunya gelembung, kata Zeti.
"Buat masa ini, kita tidak nampak pembentukan gelembung aset berlaku di Malaysia. Ketika ini, mungkin ada keadaan di mana kita nampak sedikit kegiatan spekulatif tetapi ini tidak menyeluruh dalam ekonomi kita," katanya.
Tentang perang mata wang, Zeti berkata ringgit tidak mengalami sebarang tekanan, dan pergerakan mata wang tempatan "sangat bergantung kepada pengaliran masuk dan pengaliran keluar".
"Bank pusat berada pada kedudukan yang baik untuk campur tangan dalam pasaran jika keadaan menjadi bercelaru atau terlalu banyak pergerakan berlaku dalam tempoh yang sangat singkat tetapi setakat ini, kita gembira pasaran amat teratur," katanya.
Beliau juga berkata ringgit telah mengukuh sebanyak kira-kira 10 peratus berbanding dolar AS dan sehingga ini terus stabil berbanding mata wang serantau. - BERNAMA
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/26/mstar_berita/20101026184726&sec=mstar_berita
No comments:
Post a Comment