Wednesday, October 27, 2010

PM: ETP akan berkembang, bukan tindakan tetap

Okt 25, 10 5:17pm

Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan berkembang kerana inisiatif-inisiatif yang dikenal pasti hanya sebagai titik permulaan dan bukan bertujuan menjadi satu pelan induk tetap bagi aktiviti ekonomi Malaysia untuk 10 tahun akan datang.

Banyak inisiatif dan aktiviti baru yang belum lagi difikirkan akan muncul apabila pembaharuan bermula, kemunculan peluang baru dan pembangunan pasaran, demikian menurut laporan ETP-Hala Tuju untuk Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Menurutnya, beberapa projek akan berkembang, sesetengahnya bakal berubah secara radikal manakala sesetengah yang lain akan ditamatkan.

Dipacu oleh sektor swasta, ETP akan mentransformasikan ekonomi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dengan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita sekurang-kurangnya RM48,000 menjelang 2020, di mana 74 peratus daripada pertumbuhan ini akan disumbangkan oleh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

ETP akan mencipta lebih tiga juta pekerjaan dengan sebahagian besar daripadanya merupakan yang berpendapatan sederhana atau tinggi.

Dalam penilaian impak kepada PNK, setiap makmal NKEA telah mengenal pasti inisiatif yang diklasifikasikan sama ada sebagai projek permulaan (EPP) atau peluang perniagaan.

EPP adalah projek yang akan menjana pencapaian berimpak besar dengan pantas dan ia merupakan inisiatif yang menentukan dengan jelas di mana para pelabur telah dikenal pasti, pelan perlaksanaan yang terperinci telah diwujudkan serta keperluan pembiayaan telah dinyatakan.

Kerja-kerja yang dilakukan di makmal ETP mencadangkan bahawa EPP boleh menyumbangkan sehingga 31 peratus daripada pertumbuhan PNK tambahan yang dikehendaki dan tambahan 10 peratus melalui kesan penggandaan.

Peluang perniagaan boleh menyumbang tambahan 33 peratus lagi sementara baki 26 peratus pertumbuhan PNK tambahan dijangka akan datang dari sektor lain (bukan NKEA).

Menurut Hala Tuju tersebut, empat NKEA iaitu minyak, gas dan tenaga, perkhidmatan kewangan, minyak sawit serta pemborongan dan peruncitan, diunjurkan menyumbang 60 peratus pertumbuhan tambahan antara 11 sektor NKEA , tidak termasuk Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

Kebanyakan daripada inisiatif yang dirancang berasaskan kepada liberalisasi pasaran dan peningkatan persaingan, katanya.

Faktor ini amat penting untuk menarik syarikat multinasional ke Kuala Lumpur, membangunkan paksi kewangan serantau dalam usaha merangsang pertumbuhan dalam perkhidmatan kewangan Islam.

Liberalisasi harga gas dan pengurangan subsidi juga akan mewujudkan disiplin pasaran yang lebih kukuh.

Pertumbuhan ekonomi akan didorong oleh inovasi dan anjakan kepada aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dengan tumpuan diberikan kepada kualiti dan pembaikan standard.

Dalam NKEA, pertumbuhan akan ditumpukan pada sub-sektor di mana Malaysia mempunyai kelebihan daya saing yang mampan.

Sebagai contoh, bagi perkhidmatan kewangan, bidang pertumbuhan utama adalah dalam perkhidmatan kewangan Islam di mana Malaysia mempunyai rekod prestasi cemerlang.

Bagi sektor minyak, gas dan tenaga pula, Malaysia berada dalam kedudukan yang amat mantap untuk membangunkan hab perkhidmatan medan minyak serantau disebabkan ketersediaan industri minyak dan gas tempatan serta kedudukan negara yang berdekatan dengan kawasan medan minyak di rantau ini.

Menjelang 2020, struktur ekonomi Malaysia akan berubah dengan ketara, di mana sektor perkhidmatan akan mempunyai bahagian yang lebih besar dalam ekonomi dengan menyumbang sebanyak 65 peratus kepada Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 58 peratus pada 2010.

Penggunaan domestik akan menjadi pemacu utama pertumbuhan, dengan menyumbang 59 peratus kepada KDNK menjelang 2020 berbanding 54 peratus pada 2010.

Ini bermakna Malaysia akan mengurangkan pergantungannya kepada eksport sebagai pemacu permintaan dan akan setanding dengan ekonomi maju seperti Taiwan dan New Zealand dari segi pertumbuhan permintaan domestik.

- Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...