Wednesday, October 27, 2010

Ugut bunuh, bakar rumah emak

AMPANG: Seorang anak sanggup mengugut mahu membunuh dan membakar rumah didiami ibunya hanya semata-mata mahu rumah itu yang terletak di Kuala Ampang, di sini dijual.

Akibat perbuatan anak derhaka terbabit, ibu malang berkenaan yang baru bersara daripada perkhidmatan kerajaan melarikan dan menumpang di rumah saudara kerana khuatir anak kandungnya itu akan bertindak di luar dugaan.


Malah, anaknya yang bekerja sebagai pegawai di sebuah bank itu sanggup menakut-nakutkan ibunya apabila membawa sebatang besi kerana tidak berpuas hati dengan tindakan ibunya yang enggan menjual rumah itu.


Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari Sabtu lalu, ketika mangsa berada di rumahnya sebelum didatangi anak lelakinya itu yang berusia lingkungan 30-an.

“Dalam keadaan marah, anaknya mengamuk dengan menyepak perkakas rumah dan turut mengugut akan membunuh ibunya itu jika enggan menjual rumah dan memberikan wang yang diperolehi kepadanya. “Bagaimanapun, si ibu cuba mententeramkan keadaan dan menerangkan kepada anaknya itu yang dia kini dalam proses untuk menjual rumah berkenaan dan memintanya bersabar,” katanya.


Menurutnya, mangsa turut memberitahu akan mendapat hak sewajarnya selepas segala urusan jual beli rumah selesai kelak.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan juga penahanan suspek.


“Lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ugutbunuh_bakarrumahemak/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...