am@hmetro.com.my
KEMAMAN: Akibat berang dengan sikap ibunya yang dikatakan lambat membuat persiapan untuk majlis perkahwinannya, seorang lelaki sanggup menumbuk muka ibunya itu sehingga terjatuh dan koma.
Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari di Kampung Mak Chili Paya, di sini, kelmarin, ibu malang itu yang juga seorang suri rumah mengalami pendarahan teruk di muka akibat kesan tumbukan kuat anaknya sebelum terjatuh dan mukanya tersembam pada meja kayu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, akibat kesan tumbukan itu, mangsa mengalami patah tulang kening manakala hidung dan mulutnya mengalami pendarahan teruk sehingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Kemaman (HK) oleh seorang anak saudaranya yang melihat kejadian itu.
“Bagaimanapun wanita berusia 49 tahun itu dikatakan koma ketika dalam perjalanan ke HK dan dirawat di unit rawatan rapi sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, mangsa mula sedar pada awal petang semalam dan menunjukkan tanda pulih.
Abdullah berkata, pemeriksaan imbasan yang dilakukan terhadap wanita berkenaan di HTAA bagaimanapun menunjukkan tidak berlaku sebarang pendarahan dalam otak dan dia dirujuk semula ke HK untuk rawatan lanjut.
“Susulan itu polis menahan reman seorang lelaki yang juga anak ketiga mangsa berumur 25 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun,” katanya.
Menurutnya, sebelum kejadian itu suspek yang bekerja di sebuah syarikat petroleum di sini dikatakan baru pulang dari tempat kerjanya sementara ibunya sedang mengemas rumah.
Abdullah berkata, suspek dikatakan akan melangsungkan perkahwinan pada 6 November depan dan inginkan kepastian daripada ibunya mengenai perkembangan persiapan perkahwinan seperti kelengkapan pelamin, barangan hantaran dan jamuan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tumbukibusampaikoma/Article/index_html
No comments:
Post a Comment