Friday, October 29, 2010

31 juta pelanggan telefon bimbit

PUTRAJAYA: Statistik bagi suku kedua tahun ini menunjukkan pelanggan telefon bimbit sudah melebihi 31 juta dan melepasi jumlah 28 juta penduduk negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah keseluruhan pelanggan itu menjadikan kadar penembusan kadar penggunaan telefon bimbit sebanyak 108 peratus.


Beliau berkata, kadar itu menjadi penyumbang terbesar iaitu melebihi 60 peratus jumlah keseluruhan pendapatan industri komunikasi dan multimedia di negara ini.


“Malah, perkhidmatan jalur lebar turut menunjukkan kemajuan sangat menggalakkan berbanding 2008 apabila hanya 22 peratus isi rumah melanggan jalur lebar.

“Selain itu, kadar penembusan jalur lebar mengikut isi rumah melepasi sasaran 50 peratus yang ditetapkan pada hujung tahun ini, di mana sehingga pertengahan bulan ini kadar penembusan jalur lebar mengikut isi rumah melepasi 53 peratus,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaksanaan Jalur Lebar Nasional 2/2010, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Noor Mohamed Yakcop, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Khalid Ramli.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/31jutapelanggantelefonbimbit/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...