Friday, October 29, 2010

Tiada langsung rasa kesal

Oleh Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my

BUTTERWORTH: Seorang kelindan lori dipenjara lima tahun dan dua sebatan ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas menyimbah cuka getah terhadap seorang gadis dalam satu kejadian pertengahan bulan ini.

Tertuduh, Mohd Shukri Mat Suib, 26, dari Tasek Chempedak, Simpang Ampat, Nibong Tebal, dekat sini, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mohd Zairan Aman, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud.


Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak diwakili peguam dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Nor Azni Mohd Ameerdin, 21, dengan cecair yang boleh menyebabkan kulit melecur pada 17 Oktober 2010 kira-kira jam 11 malam di depan rumah bernombor 22, Lorong 12, Taman Chendarawasih, Nibong Tebal. Berikutan itu, mangsa yang bekerja sebagai kerani kilang dan bakal bertunang bulan depan melecur di mata kiri dan muka, kedua-dua lengan serta belakang badan dan kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang. Sebelum itu, tertuduh yang berbaju-T putih belang hitam dan berseluar pendek kelabu melemparkan senyuman kepada jurugambar ketika dibawa ke mahkamah.


Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun selain denda serta sebat.

Tertuduh juga ada tiga rekod jenayah lampau membabitkan dua kes dadah dan satu kes jenayah selain ujian air kencing positif dadah ketika ditahan di rumahnya, 20 Oktober lalu.


Mohd Zairan ketika menjatuhkan hukuman berkata, tertuduh didapati bersalah dan tiada tanda penyesalan ditunjukkan walaupun melakukan kesalahan serius sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

“Tindakan tertuduh menyebabkan mangsa tidak berpeluang berkahwin. Tertuduh tidak sepatutnya melampiaskan nafsu sehingga mencederakan mangsa dan patut menjalani hukuman sebagai pengajaran,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tiadalangsungrasakesal/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...