YOGYAKARTA: Terkejut seketika mendengar pengakuan seorang ibu muda yang mengatakan dia langsung tidak gentar dengan letusan Gunung Merapi, Selasa lalu malah menganggap sebagai rezeki.
Ini kerana letusan itu menyebabkan banyak pasir timbul di permukaan bumi sebelum ia diambil atau dikaut penduduk untuk dijual sebagai satu bahan penting dalam pembinaan bangunan konkrit.
Sebelum ini, kebanyakan penduduk di kaki gunung itu bekerja sebagai petani dan penternak, malah ada juga yang menjalankan kegiatan mengaut pasir yang lebih dikenali sebagai pasir hitam bagi menyara hidup.
Ibu muda itu yang hanya mahu dikenali sebagai Giyarti, 20, ditemui ketika berada di Dewan Desa Kepuharjo kira-kira tujuh kilometer dari Gunung Merapi yang menempatkan wanita dan golongan warga emas yang ditimpa bencana itu.
Ketika ditanya di mana suaminya, wanita yang mempunyai seorang anak berusia setahun setengah itu memberitahu suaminya pulang ke rumah mencari rumput untuk lembu peliharaan mereka.
“Apa boleh buat, kami memang biasa dengan situasi seperti ini. Bagi kami, Gunung Merapi sebenarnya banyak memberi rezeki.
“Bagi saya, letusan ini bukan satu bala, sebaliknya memberikan penduduk pendapatan,” katanya.
Menurutnya, jika diikutkan hati, dia enggan berpindah dan mahu terus tinggal di rumah, namun terpaksa kerana diarahkan pihak berkuasa.
“Saya mahu berada di rumah kerana boleh membantu suami mengangkut pasir yang membuak dan dibawa arus sungai.
“Menggunakan tulang empat kerat mengangkut pasir, kami boleh mendapat upah hingga Rp100,000 (RM35) dan ini dikira lumayan bagi kami sekeluarga,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rezekilumayan/Article/index_html
No comments:
Post a Comment