BUKIT MERTAJAM: Sepasang suami isteri dari Kampung Berangan Sembilan, Bukit Teh, dekat sini bukan saja dihimpit kemiskinan, malah mereka turut diduga apabila anak perempuan berusia lima tahun disahkan menghidap penyakit berkaitan saraf.
Lebih memilukan, Rosli Hashim, 43, menderita penyakit mudah penat sejak tiga tahun lalu, manakala isterinya, Sharimah Othman, 41, disahkan menghidap tiroid dan ketumbuhan dalam rahim.
Berikutan itu, suami isteri berkenaan hanya mampu mengharapkan bantuan anak-anak selain saudara- mara dan jiran demi meneruskan kehidupan harian.
Disebabkan kesempitan hidup dialami keluarga itu, dua daripada lapan anak Rosli dan Sharimah mengambil keputusan berhenti sekolah bagi membantu keluarga.
Rosli berkata, sejak sakit pada 2008, dia tidak boleh bekerja berat dan dalam tempoh lama sebaliknya hanya mampu melakukan kerja ringan berdekatan rumahnya.
Selain itu, katanya, penyakit yang dihidapi isteri dan anaknya turut menyebabkan mereka tidak boleh berjauhan dalam tempoh lama kerana bimbangkan keselamatan kedua-duanya.
“Isteri saya pernah menjalani pembedahan membuang tiroid pada 1988 dan kini penyakit itu ada kembali. Selain itu, doktor juga mengesahkan ada ketumbuhan dalam rahim isteri selepas kami mengambil keputusan mengikat saluran peranakan selepas kelahiran anak bongsu tiga tahun lalu,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Berangan Sembilan, Bukit Teh baru-baru ini.
Menurutnya, berikutan kemiskinan dihadapi, anak ketiga dan keempat yang berusia 16 dan 14 tahun mengambil keputusan berhenti sekolah.
Selain itu katanya, penyakit anak ketujuh, Siti Zulaikha, 5, yang kerap diserang sawan turut menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa memberi perhatian lebih kepadanya.
“Ketika usianya sembilan bulan, Siti Zulaikha diserang demam panas sehingga menyebabkannya mendapat sawan tarik.
“Sejak itu, kesihatannya terganggu dan doktor memberitahu, jantung, paru-paru, saraf otak serta urat saraf lain terjejas.
“Disebabkan itu, dia mudah diserang sawan tarik, ada ketika tiga kali sehari ia berlaku. Apabila diserang sawan, wajahnya kebiru-biruan selain badannya lemah dan sukar bernafas,” katanya.
Selain itu katanya, Siti Zulaikha perlu dibawa menemui doktor di Hospital Bukit Mertajam empat kali sebulan termasuk menjalani terapi.
“Siti Zulaikha kerap sakit, malah sering keluar masuk hospital. Disebabkan sakit itu, dia hanya boleh makan bubur dan minum susu khas yang berharga lebih RM50 setin.
“Selain itu, dia perlu memakai lampin pakai buang kerana mudah kencing merata-rata tempat,” katanya.
Menurutnya, disebabkan penyakit itu juga, Siti Zulaikha tidak boleh bercakap dengan jelas, mata tidak nampak serta perlu diberikan lima jenis ubat setiap hari termasuk untuk jantung dan paru-paru.
Berikutan kesusahan dialami, keluarga itu hanya mengharapkan bantuan saudara mara serta jiran termasuk menghantar Siti Zulaikha ke hospital apabila diserang sawan.
“Pernah doktor marah pada kami kerana lewat menghantar Siti Zulaikha ke hospital selepas diserang sawan. Malangnya, untuk ke hospital kami tiada kenderaan malah terpaksa menunggu saudara-mara atau menaiki bas sendiri.
“Ketika ini kami hanya mengharapkan bantuan jiran yang menghulurkan makanan yang tidak habis selepas pulang dari berniaga kantin di sebuah sekolah.
“Selain itu, kami mengambil upah mengupas ikan bilis dengan bayaran RM8 untuk satu beg plastik yang biasanya boleh disiapkan tiga hari,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duaanakberhentisekolahbantuibubapadaif/Article/index_html
No comments:
Post a Comment