Friday, October 29, 2010

Awan panas: Hidangan ‘Sajen’ jamu roh

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

SEPULUH minit masa di ‘curi’ melihat dengan jelas hingga ke kaki Gunung Merapi cukup menginsafkan diri saya dan bersyukur kerana dilahirkan dan hidup di negara kita yang tidak dikelilingi bencana alam seperti gunung berapi dan gempa bumi.

Melihatkan rumah, pokok serta jalan diselaputi debu letusan gunung berapi itu cukup menggambarkan betapa bahangnya kawasan itu yang dikatakan mencecah melebihi 100 darjah celcius. Pengalaman menaiki motosikal penduduk tempatan yang sanggup memberi ‘bantuan’ membawa hingga ke kaki gunung berkenaan sangat berharga kerana sekurang-kurangnya dapat memberikan gambaran jelas mengenai situasi yang berlaku ketika letusan Gunung Merapi.


Namun, ketika bersama penduduk yang hanya mahu dikenali Alit, 24, masa yang sepatutnya diambil dengan lebih lama itu terganggu apabila petugas yang mengawal di kawasan terbabit tiba-tiba meminta kami turun segera kerana amaran bencana sudah diterima. Takut kemungkinan berlaku perkara buruk, Alit tanpa berlengah memecut motosikal, namun kami sempat singgah di rumah jurukunci Gunung Merapi, Mbah Maridjan yang mayatnya ditemui dalam keadaan bersujud akibat terkena letusan.


Turun dari kaki Gunung Merapi, saya terus ke penempatan sementara mangsa bencana di sebuah dewan di Desa Kepuharjo kira-kira 7 kilometer dari gunung itu.

Di situ, hati sekali lagi tersentuh melihat ramai warga emas tidur bergelimpangan dalam keadaan cuaca panas.


Namun, dalam keadaan lemah tidak bermaya itu, golongan terbabit tidak lokek senyuman setiap kali ditegur. Bagaimanapun sukar berbicara kerana rata-rata berbahasa Jawa.

Malah, seorang rakan menemani kami, Timbalan Pengerusi Tetap Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI), Mohd Nazaluddin Mat Nazir yang juga bertindak jurubahasa mengakui sukar memahami bahasa warga emas berkenaan. Pada pengamatan saya, penduduk di kawasan ini masih kuat dengan adat dan budaya. Ini dibuktikan pengakuan seorang rakan dikenali ketika menghadiri pengebumian jurukunci, Mbah Maridjan.


Ketika majlis pengebumian itu, saya bertanya mengapa dibawa nasi dalam pinggan dan diberitahu itu adat dan budaya mereka sejak turun temurun dan hidangan itu dipanggil ‘Sajen’ untuk menjamu roh.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Awanpanas_Hidangan__8216_Sajen__8217_jamuroh/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...