KUALA LUMPUR: Hajat seorang pekerja swasta yang ditimpa kemalangan untuk mendapatkan pencen ilat menerusi orang tengah tidak kesampaian apabila dia terpaksa menanggung kerugian RM8,000 akibat ditipu, tahun lalu.
Mangsa, S Muniandy, 59, berkata, tindakan menggunakan orang tengah timbul apabila rakannya memperkenalkan seorang wanita yang dikatakan mampu membantu mendapatkan pencen selepas permohonannya ditolak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Katanya, wanita berusia 30-an itu memberitahunya pernah membantu beberapa orang yang gagal mendapat pencen berkenaan berikutan mempunyai orang dalam dan hanya perlu membayar duit kopi. “Yakin dengan penerangannya, saya turut mengesyorkan rakan lain untuk turut serta, namun tidak menyangka wanita itu sanggup mengambil kesempatan terhadap kami.
“Malah, dia berjanji saya akan memperoleh pencen. Mulanya, dia meminta memasukkan RM500 ke akaun bank suaminya bagi urusan kali pertama, seminggu kemudian, dia masih meminta wang dan ini berlanjutan hingga saya terpaksa menggunakan wang persaraan. “Selepas beberapa bulan, dia menghilangkan diri secara tiba-tiba dan gagal dihubungi. Waktu itu, saya yakin saya ditipu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kecewa dengan perbuatan wanita itu, Muniandy membuat laporan di Balai Polis Taiping, Perak, Mei lalu, sebelum mengadu kepada Biro Pengaduan Awam (BPA). Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah yang juga Pengerusi BPA berkata, kes penipuan oleh orang tengah bagi urusan agensi kerajaan seperti Perkeso, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dilaporkan semakin meningkat dengan purata lima kes sebulan sejak 2008.
“Berdasarkan kes berkenaan, kebanyakan mangsa terpaksa menanggung kerugian lingkungan RM3,000 hingga RM15,000,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ditipuorangtengahuruspencenilat/Article/index_html
No comments:
Post a Comment