JITRA: Syarikat SK Murni Travel & Tours (SK Murni), yang berpangkalan di sini, semalam, menafikan pemandu bas persiaran dua tingkat terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, Perak yang mengorbankan 27 mangsa kelmarin sebagai kakitangan syarikat itu.
Pengarahnya, R Shanmugan berkata, pemandu terbabit, Omar Shahidan, 48, antara mangsa yang maut dalam kejadian itu adalah pekerja syarikat San Express Holidays Sdn Bhd yang beribu pejabat di Kangar, Perlis.
Menurutnya, semua urusan pakej pelancongan, pengangkutan pelancong dari Thailand serta pemandu diuruskan San Express Holidays.
“Bas persiaran berharga RM300,000 itu adalah milik bersama SK Murni dan San Express Holidays. Kita membuat keputusan untuk berkongsi modal membeli bas itu kerana tidak layak menerima dana pelancongan Kementerian Pelancongan sebanyak RM900,000 kerana tidak melepasi syarat peratusan status Bumiputera ditetapkan kerajaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, kos penyelenggaraan bas itu turut ditanggung San Express Holidays dan ia turut ditempatkan di ibu pejabat syarikat itu di Kangar.
Akhbar semalam melaporkan Omar pekerja SK Murni dan bas itu dimiliki San Express Holidays. Akhbar turut melaporkan Kementerian Pelancongan sudah memulakan siasatan terhadap SK Murni berhubung kejadian itu.
Shanmugan turut mengesahkan pihaknya sudah dihubungi wakil kementerian dan sudah menjelaskan perkara sebenar.
Sementara itu, Pengarah Urusan San Express Holidays, Sor Eng Hock, ketika dihubungi mengesahkan Omar kakitangan mereka.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PemandukakitanganSanExpressHolidays/Article/index_html
No comments:
Post a Comment