Wednesday, December 22, 2010

Pesawat khas bawa pulang 25 warga Thailand

IPOH: Jenazah 25 rakyat Thailand yang terkorban dalam kemalangan ngeri di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, kelmarin dibawa pulang ke negara asal mereka dalam tempoh terdekat menggunakan pesawat penerbangan khas.

Duta Thailand ke Malaysia, Thana Duangrana berkata, pihaknya berusaha supaya penerbangan khas ke Bangkok itu berlepas di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.


“Permohonan dibuat kepada kerajaan Thailand supaya pesawat khas diterbangkan ke Malaysia bagi tujuan itu.

“Segala persediaan termasuk urusan dokumentasi dilakukan secepat mungkin bagi membolehkan proses membawa pulang jenazah dibuat dalam tempoh terdekat ini,” katanya ketika melawat mangsa yang cedera dan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.


Dalam kemalangan bas terburuk dalam sejarah negara jam 11.40 pagi kelmarin, 27 daripada 37 penumpang bas persiaran dua tingkat itu terbunuh, selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh pembahagi jalan lalu terbalik, sebelum terhumban dalam longkang di laluan bertentangan selepas terbabas ketika melalui selekoh tajam.


Daripada jumlah itu, 25 maut ialah pelancong Thailand, manakala dua lagi rakyat tempatan, pemandu bas dan pemandu pelancong. Jenazah pemandu bas, Omar Shahidan, 48, dan pemandu pelancong, Soonkorn a/l Kian, 38, sudah dituntut keluarga masing-masing.

Difahamkan, Kedutaan Thailand membawa waris mangsa dari Bangkok menerusi penerbangan komersial pagi ini untuk proses pengecaman mayat di Ipoh. Seramai 10 mangsa yang terselamat masih dirawat di beberapa wad termasuk Duranee Songserm, 59, yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 11 mayat ditempatkan di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, enam di Hospital Batu Gajah dan masing-masing empat mayat di Hospital Sungai Siput dan Hospital Hulu Kinta.


Sementara itu, Setiausaha Bahagian Pelesenan, Kementerian Pelancongan, Kudratullah Fatimy Afandi berkata, pihaknya memberi surat tunjuk sebab kepada syarikat SK Murni Travel and Tours berhubung kemalangan itu.

Katanya, syarikat itu diberi masa tujuh hari memberi laporan lengkap mengenai kemalangan terbabit.


“Kami akan mendapatkan laporan daripada agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis mengenai punca sebenar kemalangan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pesawatkhasbawapulang25wargaThailand/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...