Wednesday, December 22, 2010

Struktur bas dua tingkat bukan penyebab utama

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) berpendapat struktur bas dua tingkat tidak seharusnya dijadikan penyebab utama kemalangan maut yang meragut 27 nyawa di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cemeron Highlands, kelmarin.

Yang Dipertuanya, Tajudin Mohd Yunus berkata, sebaliknya kemalangan ngeri itu dapat dielak sekiranya had laju dan peraturan ditetapkan dipatuhi dengan cara pemanduan berhemah.


“Tidak adil menilai hanya dari segi struktur bas semata-mata, kerana tidak kira sama ada bas satu atau dua tingkat sekiranya dipandu dalam keadaan baik perkara seperti ini dapat dielakkan.

“Ini terbukti kerana ratusan bas dua tingkat yang dimiliki ahli Pembawa dapat dikendalikan dengan baik dan membawa penumpang dengan selamat biarpun melalui jalan berbukit dan berselekoh yang banyak terdapat di laluan Pantai Timur dan Utara,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan beberapa pihak supaya kerajaan mengkaji semula penggunaan bas bertingkat di laluan sukar termasuk kawasan berbukit dan bercerun bagi mengelak kemalangan ngeri berlaku. Kajian itu dikatakan perlu secara menyeluruh bagi mengelakkan kemalangan yang meragut nyawa ramai penumpang tidak berulang. Laluan seumpama itu juga dikatakan memberi kesan tidak baik terhadap bas yang berbadan lebih tinggi yang mungkin menyebabkan kemalangan berulang beberapa kali di negara ini.


Tajudin berkata, kemalangan meragut nyawa boleh dielak sekiranya bas dipastikan berada dalam keadaan baik sebelum perjalanan dengan diselenggara secara berkala serta pemandu mematuhi had laju.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Strukturbasduatingkatbukanpenyebabutama/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...