Wednesday, December 22, 2010

Tiada isu jalan licin

IPOH: Kemalangan terburuk dalam sejarah negara yang mengorbankan 27 nyawa kelmarin berpunca daripada sikap pemandu atau masalah mekanikal dan bukan disebabkan jalan di kawasan kejadian licin akibat terdapat tumpahan atau tompokan minyak.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, dua kemungkinan itu dibuat berdasarkan siasatan awal dilakukan pihaknya di lokasi kejadian di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai berhampiran Kampung Juang di sini.


“Saya ingin tegaskan bahawa polis antara pasukan terawal tiba di tempat kejadian dan siasatan awal mendapati tempat (jalan) itu kering. Selepas bas diangkat, baru nampak kesan tumpahan minyak berpunca daripada bas itu sendiri,” katanya sekali gus menafikan dakwaan dan spekulasi pihak tertentu mengaitkan kemalangan itu berlaku disebabkan terdapat tompokan atau tumpahan minyak atas jalan di lokasi kejadian.

Pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam, beliau berkata, hasil siasatan awal juga, pihaknya menumpukan kepada faktor pemandu atau masalah mekanikal sebagai punca kemalangan.


Menurutnya, polis menjalankan siasatan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi menentukan punca sebenar kemalangan itu. “Polis sudah mengarahkan kedua-dua pengusaha atau wakil San Travel Holidays dan SK Murni Travel & Tours datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk memberi keterangan bagi menentukan siapa pemilik sebenar bas itu.


“Keterangan kedua-dua wakil syarikat itu penting untuk mengetahui sama ada bas itu mempunyai pemandu kedua atau pemandu pelancong rakyat tempatan yang terkorban itu turut bertindak sebagai pemandu kedua selain mengetahui jadual perjalanan rombongan 35 rakyat Thailand itu,” katanya.

Katanya, polis sudah dimaklumkan waris dan ahli keluarga rakyat Thailand semua mangsa yang terbunuh dijangka tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini tengah hari ini bagi membuat pengecaman ahli keluarga mereka.


Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak akan melakukan siasatan menyeluruh termasuk mengkaji melakukan penambahbaikan jalan raya Simpang Pulai-Cameron Highlands terutama di laluan Kilometer 15.

Pengarahnya, Datuk Dr Safry Kamal berkata, walaupun pihaknya berpendapat jalan raya berkenaan selamat digunakan, JKR bersedia melakukan penambahbaikan di kawasan terbabit seperti menambah papan tanda amaran serta memasang alat mengurangkan kelajuan kenderaan.


“Daripada segi struktur dan binaan jalan, laluan berkenaan adalah baik kerana JKR melakukan penyelenggaraan setiap bulan manakala satu pasukan pemantau sentiasa berada di situ setiap hari,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tiadaisujalanlicin/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...