Saturday, February 5, 2011

4,000 dipindah ke Jeddah

4,000 dipindah ke Jeddah

Oleh Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

TENANG...pelajar menunggu kapal terbang yang akan membawa mereka pulang ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.
TENANG...pelajar menunggu kapal terbang yang akan membawa mereka pulang ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.
LEGA...pelajar Malaysia yang pertama tiba  di Lapangan Terbang Jeddah menaiki pesawat MAS dan AirAsia.
LEGA...pelajar Malaysia yang pertama tiba di Lapangan Terbang Jeddah menaiki pesawat MAS dan AirAsia.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 penerbangan membabit 4,000 pelajar dilakukan semalam dalam usaha memindahkan rakyat Malaysia ke Jeddah, termasuk tiga penerbangan dari Iskandariah.

Setiausaha Politik, Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail berkata, kelmarin, seramai 760 pelajar sudah selamat tiba di Jeddah menerusi dua penerbangan pertama. Pagi semalam lebih 300 pelajar Malaysia yang terkandas di Kaherah dan Iskandariah, tiba di Jeddah menerusi penerbangan jam 11 pagi waktu Mesir diikuti penerbangan selebihnya secara berperingkat.


Katanya, tiga C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk satu di Iskandariah, dua pesawat AirAsia dan satu milik Penerbangan Malaysia (MAS) di Kaherah digunakan untuk mengangkut pelajar terbabit.

“Untuk pengetahuan, terdapat sebahagian kecil rakyat Malaysia termasuk pelajar tahun akhir, yang sudah berkahwin dan bekerja memutuskan untuk tidak menyertai pemindahan namun kita tidak akan memaksa mereka.


“Saya menjangkakan operasi pemindahan ini akan berakhir pada malam esok (malam ini),” katanya ketika dihubungi, semalam.


Mengulas mengenai khabar angin rusuhan besar-besaran di Dataran Tahrir, beliau cuma menyaksikannya menerusi televisyen dan tidak pasti apa yang bakal terjadi.

Katanya, yang menjadi keutamaan adalah keselamatan anak tempatan yang berada di Mesir namun beliau turut mengakui mengalami masalah ketika perjalanan dari pejabat kedutaan Malaysia di Mesir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah berikutan berlaku sekatan jalan oleh pihak tentera.


Sementara itu, Ketua Penerangan Kelab Umno Kaherah, Azizul Hafiz Ameruddin berkata, kebanyakan pelajar dalam keadaan berjaga-jaga malah sudah bersedia menanti penerbangan masing-masing sejurus menerima pengumuman daripada pejabat kedutaan Malaysia di Mesir.

Katanya, kebanyakan pelajar sudah dimaklumkan supaya hanya membawa beg bermuatan tidak melebihi tujuh kilogram, serta dokumen penting termasuk pasport dan dokumen sah.


“Saya akui dan menjangkakan keadaan akan bertambah tegang berikutan hari ini (semalam) merupakan cuti hujung minggu bagi Mesir.


“Ini terbukti apabila berlaku beberapa perubahan bagi perintah berkurung diumumkan kerajaan sejak tercetusnya konflik iaitu dari 7 pagi hingga 6 petang kepada 2 petang hingga 7 pagi dan terakhir 1 petang hingga 7 pagi.


“Selain itu, saya turut menerima maklumat rusuhan besar-besaran akan berlaku di Dataran Tahrir sejurus selesai solat Jumaat nanti dalam usaha untuk memaksa kerajaan berundur dari tampuk pemerintahan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/4_000dipindahkeJeddah/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...